Pengasas Unit Trauma dan Kecemasan di Malaysia, Profesor Datuk Seri Abu Hassan ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette di Unit Trauma dan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 13 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Selama 34 tahun berkhidmat dalam bidang perubatan, setiap hari melihat kematian di depan mata dan merawat kes-kes kecemasan yang teruk, namun bagi bekas Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah , tragedi yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah betul-betul meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.

Menurut lelaki yang berwajah tenang ini, hatinya bagai disiat-siat apabila terpaksa melihat 21 anak syurga serta dua orang guru menjadi korban kebakaran tersebut.

“Setiap hari sentiasa ada peristiwa yang menjadi kenangan atau mungkin sesuatu yang baharu dalam kerjaya saya namun peluang untuk merawat mangsa serta mengendalikan jenazah pelajar-pelajar tahfiz berkenaan adalah berbeza. Sukar untuk diungkap dengan kata-katanya,” katanya sayu.

Bercakap dalam satu temubual eksklusif dengan MalaysiaGazette, Dr. Abu Hassan Asaari berkata, memang sukar untuk mengenepikan emosi dan mengendalikan kes menyayat hati itu dengan penuh profesionalisme.

Bagaimanapun, latihan demi latihan menyebabkan semua petugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL itu berjaya melakukannya meskipun berada dalam tekanan yang hebat ditambah emosi yang berat.

“Saya memang mengajar mereka satu modul untuk memantapkan emosi mereka apabila berdepan dengan insiden-insiden yang mentraumakan seperti kemalangan dan kebakaran teruk.

“Tambahan pula kami berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma, maka kes-kes sebegini memang ‘makanan’ kami cuma tahap serius atau tidak sahaja yang membezakannya.

“Pada hari kejadian, saya sedang berada di pejabat dan apabila kami menerima mangsa-mangsa kebakaran tersebut, kami cuba memberi rawatan terbaik kepada mangsa yang masih hidup.

“Mereka mengalami kecederaan yang sangat serius dan boleh saya katakan sangat dahsyat manakala jenazah-jenazah pula kami santuni sehingga siap dimandikan dan dikafankan.

“Kalau tiada ketenangan dalam hati kami para petugas pada hari tersebut, pastinya kami tidak mampu menunaikan amanah dengan sempurna dan mungkin jumlah korban juga meningkat,” katanya sambil melepaskan keluhan berat.

Peluang hampir sejam menemubual beliau dan turut dijemput untuk menghadiri majlis persaraannya yang dianjurkan oleh petugas-petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma, HKL, jujur penulis katakan, beliau memang mempunyai reputasi yang sangat hebat dan dihormati.

Tidak berlebihan jika dikatakan beliau bagaikan bapa kepada semua petugas tersebut.

Pengasas Unit Trauma dan Kecemasan di Malaysia, Profesor Dauk Seri Abu Hassan meneliti dokumen pesakit di Unit Trauma dan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 13 OKTOBER 2017

Airmata yang mengiringi ucapan selamat tinggal kepada Dr. Abu Hassan Asaari jelas tidak dibuat-buat malah semua kakitangan di situ bagaikan enggan untuk melepaskan beliau keluar dari jabatan itu untuk menikmati usia persaraannya.

Di dalam dunia perubatan tempatan, Abu Hasan Asaari memang terkenal sebagai individu yang berfikir di luar kotak.

Beliau mencipta sejarah sebagai pencetus idea untuk menubuhkan Jabatan Kecemasan dan Trauma pertama di negara ini.

Katanya, selepas pulang dari menghabiskan pengajian di United Kingdom, beliau mendapati hospital-hospital di Malaysia masih tidak mempunyai jabatan kecemasan sedangkan ianya adalah perkara yang sangat penting.

Menurut Dr. Abu Hassan Asaari, banyak nyawa yang boleh diselamatkan sekiranya rawatan segera boleh diberikan kepada pesakit.

Malah idea-idea beliau berjaya menempatkan jabatan tersebut antara jabatan terbaik dan tercanggih di negara ini.

“Kami pecah-pecahkan jabatan ini kepada tiga zon mengikut tahap kecemasan pesakit.

“Di jabatan ini juga kami menyediakan semua kelengkapan termasuk mesin X-ray dan MRI kerana mahu memastikan keputusan perubatan boleh dibuat dengan cepat,” katanya lagi.

Menyorot latar belakang lelaki berusia 60 tahun itu, beliau memilih bidang perubatan kerana tidak mahu kisah sedihnya menimpa orang lain.

Ketika menduduki peperiksaan MCE (setaraf Sijil Pelajaran Malaysia) di Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban, ibunya meninggal dunia akibat sakit kencing manis dan apa yang mendukacitakan beliau, Dr. Abu Hassan Asaari tidak boleh menghadiri pengebumian ibunya demi meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan.

“Ketika itu, saya dan seorang lagi kakak sedang menghadapi peperiksaan besar, kami terpaksa menahan kesedihan kerana kehilangan ibu tercinta dan lebih malang tidak mampu menatap wajah terakhir allahyarham.

“Selepas habis semua kertas, saya pulang ke kampung dan menziarahi pusara ibu. Di situ saya berjanji, saya tidak mahu orang lain mengalami pengalaman serupa.

“Pada saya, ibu saya masih boleh diselamatkan jika diberi rawatan segera tetapi pada zaman itu, sistem perubatan dan hospital kita tidak secanggih sekarang.

“Bertitik-tolak dari situ saya berazam untuk menjadi doktor dan apabila pulang dari United Kingdom, saya memberi cadangan kepada kerajaan untuk menubuhkan Jabatan Kecemasan dan Trauma kerana pada masa itu, Malaysia masih belum ada.

“Di sinilah saya rasakan, kami para petugas di jabatan ini masih mampu melakukan yang terbaik semampu kami untuk membantu orang lain, supaya pesakit dan keluarga mereka tidak kehilangan orang yang tersayang,” katanya lagi.

Ketika ditanya apa perancangan beliau selepas bersara, Dr. Abu Hassan Asaari yang memiliki lebih 30  tahun pengalaman itu masih belum membuat sebarang keputusan.

Katanya, beliau hanya mahu berehat selepas puluhan tahun mengabdikan diri dalam dunia perubatan bagaimanapun masih ramai pihak yang merasakan ilmu dan kepakaran beliau tidak harus terkubur begitu sahaja seiring dengan usia persaraannya. – MalaysiaGazette