Effi Aizat melamar Farah Fakhirah untuk dijadikan isteri selepas berkenalan selama tiga hari dan mereka bernikah kira-kira dua bulan kemudian, pada tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Effi Aizat Musa baru berusia 22 tahun dan masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan kejuruteraan maklumat komputer.

Jejaka yang aktif dalam kegiatan amal ini turut menubuhkan organisasi kebajikan sendiri dinamakan @hakhada pada 2014 dan banyak menganjurkan program untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Tahun lalu, Effi mengadakan program lawatan ke sebuah pusat jagaan orang tua dan meminta pertolongan dengan Farah Fakhira Fakhrulruzi, 19, untuk mempromosikan kegiatan itu dalam media sosialnya kerana wanita itu memiliki pengikut yang ramai.

Farah Fakhira pada masa sama menyertai kegiatan berkenaan bersama ibunya dan selepas tiga hari program berkenaan berakhir, Effi Aizat melamarnya untuk dijadikan isteri dan mereka bernikah kira-kira dua bulan kemudian.

Perkahwinan mereka yang kini sudah menjangkau setahun lebih dianggap unik kerana mereka berkenalan dalam tempoh yang sangat singkat iaitu hanya tiga hari sahaja.

Selepas berkahwin, pasangan muda ini kemudian menceburkan diri dalam perniagaan pakaian muslimah ini sebelum terbabit dalam penerbitan buku dengan modal sebanyak RM20,000 untuk menghasilkan sebuah novel Islamik berjudul Aku Mahu Hidayah.

Pasangan suami isteri muda ini telah menghasilkan sebuah novel Islamik berjudul Aku Mahu Hidayah.

“Novel ini ditulis atas permintaan pengikut dalam media sosial kami, ‘Effi Aizat’ yang mahu kami kongsikan perjalanan hidup sebelum dan selepas bergelar suami isteri.

“Sebagai pasangan yang menikah pada usia muda dan menikmati percintaan selepas bernikah, kami menempuh banyak cabaran dan dugaan,” kata Effi Aizat kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Novel berkenaan turut memaparkan pengalaman daripada kisah benar Farah Fakhira yang menerima pelbagai ujian sebelum berhijrah.

Farah Fakhira mula berhijrah dan mendalami agama ketika berusia 15 tahun selepas merasakan ada ‘kekosongan’ dalam hidupnya yang membuatkan dirinya tidak tenang.

Sebelum itu, beliau seorang gadis yang aktif dalam kegiatan seni apabila terbabit dalam bidang pengacaraan, peragaan, tarian dan pernah menjadi vokalis untuk sebuah band muzik.

Hasrat ingin berhijrah membawanya memulakan pembelajaran di sebuah sekolah tahfiz, Darul Quran Wal-Hadith di Ampang, Selangor.

Kecemerlangannya dalam akademik membolehkan Farah Fakhira ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir, awal tahun 2016.

Tetapi ia tidak kesampaian kerana pada tahun berkenaan beliau mendirikan rumahtangga pada usia 19 tahun.

“Sebelum ini, saya bukanlah seorang yang menutup aurat tetapi berhijrah selepas mendapat hidayah. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah dan boleh mengetuk pintu hati sesiapa sahaja dengan izin-Nya dan kita wajib memohon untuk mendapat hidayah dengan berdoa,” kata Farah Fakhira berterus-terang.

Effi Aizat dan Farah Fakhira kini popular dengan jenama fesyen Muslimah iaitu Effira Exclusive bagi memeriahkan lagi industri fesyen tanah air dengan rangkaian koleksi khimar atau tudung labuh.

Beliau yang masih lagi bergelar pelajar di Kolej Islam Antarabangsa (IIC) dalam jurusan pengajian Islam berharap pengalamannya yang dinukilkan dalam novel berkenaan dapat menjadi inspirasi terutama kepada mereka yang sedang mencari kekuatan untuk berhijrah.

Berharga RM26.90, novel berkenaan yang dilancarkan Julai lalu kini terjual melebihi 10,000 naskah melalui dalam talian dan boleh didapati di kedai-kedai buku seperti MPH dan Popular.

Kekuatan novel ini terletak pada keindahan hijrah dan istiqamah daripada pengalaman Farah Fakhira sendiri. Banyak lagi perkongsian yang menyentuh emosi dalam hubungan dengan Allah dan sesama manusia, nikah muda, cinta selepas nikah dan bermacam lagi.

Menariknya, populariti novel berkenaan membawa pasangan suami isteri muda itu menjelajah ke luar negara apabila dijemput memenuhi undangan bual bicara di Indonesia, Singapura dan Hong Kong untuk berkongsi pengalaman mereka.

Effi Aizat dan Farah Fakhira kini popular dengan jenama fesyen Muslimah iaitu Effira Exclusive bagi memeriahkan lagi industri fesyen tanah air dengan rangkaian koleksi khimar atau tudung labuh yang jarang diketengahkan dalam fesyen untuk wanita Muslimah.

Effira Exclusive telah ditubuhkan pada Disember 2016 bagi menyediakan pelbagai variasi tudung labuh dengan suntikan moden tetapi pada masa sama masih mengekalkan kesederhanaan dalam setiap rekaan dan paling penting patuh syariah.

Dengan modal sebanyak RM10,000 hasil daripada simpanan mereka berdua, Effira Exclusive yang dipasarkan menerusi media sosial di peringkat awal kini boleh berbangga dengan pembukaan butik fizikal pertama di Seksyen 7, Shah Alam pada awal Oktober lalu. – MalaysiaGazette