KUALA LUMPUR – Hanya dengan sekali lafaz, pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan hari ini mengakhiri zaman duda apabila sah bergelar suami orang.

Jalaluddin, 63,  melayari bahtera rumah tangga
dengan Rapidah Abd Ghani, 44, selepas mereka berdua dinikahkan di Masjid Bandar Tun Hussien Onn dekat sini pada pukul 10.55 pagi tadi.

Jalaluddin dan Rapidah dinikahkan oleh abang kepada pengantin perempuan, Lokman Abd Ghani yang juga penggiat teater dan pengarah dihadapan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Bandar Tun Hussien Onn, iaitu Mohd. Faisal Mohd. Noor.

Majlis itu dihadiri kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan sahabat handai.

Jalaluddin turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada Rapidah manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Rapidah yang juga seorang ibu tunggal turut menerima lima dulang hantaran termasuk sebuah kerusi urut yang berharga RM20,000 daripada pihak pengantin lelaki dan ia dibalas tujuh dulang hantaran.

Jalaluddin sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Datin Hashimah Mad Ehsan selama 40 tahun sebelum arwah meninggal dunia pada 5 November 2016 akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah kencing manis dan paru-paru berair.

Manakala Rapidah mempunyai empat orang anak hasil daripada perkahwinan terdahulu. – MalaysiaGazette