Pekin

KUALA LUMPUR – Pelakon filem dan teater Pekin Ibrahim hanya mengambil masa tiga minggu untuk belajar menyanyi, bergurindam, berpantun dan bersilat bagi memastikan dapat membawa watak utama dalam teater muzikal ‘Bangsawan Dendam Laksamana’.

Walaupun tempoh begitu singkat, Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 36, yang pernah merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia 2016, tidak patah semangat untuk membawa watak Laksamana Megat Sri Rama buat pertama kali.

“Bukan mudah kerana dalam pementasan ini memerlukan kami untuk menyanyi, bersilat, berpantun dan bergurindam jadi saya perlu memahami skrip dengan baik,” katanya kepada Bernama selepas pementasan bangsawan itu di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) malam tadi.

Pekin berkata selain itu, teater bangsawan memerlukan beliau dan pelakon lain untuk memahami skrip dengan baik kerana ia berbeza dengan gaya bahasa teater yang lebih moden.

Pekin yang sebelum ini terkenal dengan lakonannya dalam filem seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), Bunohan (2012) dan Munafik (2016) kini terus melangkah ke depan dengan mencuba bakat dalam bidang pementasan teater bangsawan, berkata selain latihan silat, bacaan skrip dan nyanyian, beliau juga perlu belajar meniup seruling.- BERNAMA