Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mencuba barangan yang terdapat pada Majlis Pra Pelancaran Kuala Lumpur International Craft Festival (KLICF) di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai hak mengambil apa sahaja langkah mendaulatkan bahasa kebangsaan selagi tidak melanggar undang-undang, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

“Jadi mereka (DBP) boleh buat apa mereka suka asalkan dalam konteks mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang. Bahasa itu jiwa bangsa, dikenali sebagai bahasa kebangsaan.

“Saya tidak mahu bahasa kebangsaan ini diletakkan sebagai bahasa yang dipinggirkan,” katanya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu selepas Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017, di bangunan Parlimen, hari ini.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas langkah DBP yang mahu mengenakan denda RM1,000 kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan Bahasa Malaysia yang menyalahi struktur bahasa.

Tindakan tersebut bakal diambil terhadap kesalahan pada iklan dalam talian tidak lama lagi sekiranya pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 diluluskan di Parlimen.

“Ini bahasa kebangsaan tidak ada mana-mana wilayah dalam negara ini boleh tidak menghormati bahasa kebangsaan. Jadi kalau mereka sampai ke tahap itu (saman) maknanya orang Malaysia tak menghormati bahasa kita.

“Saya punya pendapat kalau mereka dah buat (denda) maknanya jalan terakhirlah itu,” tambahnya lagi. -MalaysiaGazette