Shahrum Mohd Sharif

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini, meminta kerajaan negeri lebih serius menangani masalah pelupusan sampah, yang dikatakan tidak diselenggara dengan baik.

Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) berkata, kegagalan kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyelesaikan masalah pembuangan sampah dan tempat pelulusan menyebabkan negeri itu terkenal dengan panggilan Selangor Darul Sampah.

“Pergi ke mana-mana dalam negeri ini, ada yang panggil Selangor Darul Sampah, sedangkan Selangor adalah Darul Ehsan. Ini memalukan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Kelima DUN Selangor Ketiga Belas 2017 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan negeri agar menyediakan peruntukan mencukupi untuk pemulihan masalah sampah.

Menjawab soalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Wah menjelaskan, dakwaan Shahrum itu tidak benar kerana mengikut rekodnya, Selangor kini lebih bersih daripada pentadbiran BN sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau berterima kasih dengan cadangan itu dan memaklumkan kos pemulihan bergantung sepenuhnya kepada pemilik tanah kerana kawasan pelupusan sampah haram ini selalunya berlaku di tanah milik persendirian.

Menjawab soalan tambahan dari Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), yang turut mempersoalkan kenapa kawasan pelupusan sampah haram yang sebelum ini disita masih beroperasi semula selepas dua atau tiga bulan kemudian, Yong Wah memberitahu, pihaknya akan melakukan siasatan dengan dakwaan itu. – MalaysiaGazette