KUALA LUMPUR – Pos Laju hari ini memperkenalkan pakej perlindungan takaful prabayar dikenali sebagai Pos Laju Shield kepada para pelanggan individu serta pengeposan melalui kaunter untuk melindungi barangan kiriman.

Pelan baharu ini ditaja jamin oleh rakan strategik Pos Laju, Zurich Takaful Malaysia Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pelan tersebut menawarkan nilai perlindungan kerugian dan kerosakan menyeluruh sehingga RM4,000 dan dengan harga serendah 80 sen, 70 sen, 65 sen dan 60 sen bagi setiap barangan Pos Laju.

Pos Laju Shield didatangkan dalam empat pakej bermula dengan pakej ekonomi yang dipanggil Shield 1 berharga RM8.48 untuk perlindungan 10 bungkusan Pos
Laju.

Ia sesuai untuk pelanggan yang menghantar jumlah barangan yang kecil.

“Bagi pemilik perniagaan dalam talian yang menggunakan Pos Laju sebagai kurier pilihan utama dan menghantar jumlah barangan yang tinggi, kami mempunyai pakej Shield 2 berharga RM74.20 untuk 100 bungkusan, Shield 3 berharga RM206.70
untuk 300 bungkusan dan pakej yang paling berbaloi, Shield 4 berharga RM318 untuk 500 bungkusan.

Semua harga di atas adalah termasuk GST.

Bukan itu sahaja, perlindungan takaful ini sah selama satu tahun dari tarikh pembelian dan ia boleh digunakan sehingga baki dalam akaun pelanggan habis sepenuhnya, katanya semasa sidang akhbar di Pos Laju Alor Gajah hari ini.

Mohd Shukrie menambah, pelan perlindungan itu turut mencakupi perlindungan untuk sebarang kelewatan dalam penghantaran barangan pelanggan, termasuk akibat bencana alam.

Pos Laju Shield memberikan faedah sebanyak RM7 sehari sekiranya berlaku kelewatan sehingga lima hari. Bagaimanapun, ini terpakai apabila penghantaran bungkusan pelanggan melebihi dua hari dari tempoh penghantaran standard penghantaran Pos Laju. – MalaysiaGazette