.S. Subramaniam

PULAU PINANG – Kelulusan bagi projek di lereng bukit di negeri ini meningkat kira-kira lapan kali ganda di bawah pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang berbanding ketika era Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, jemaah menteri dalam satu mesyuarat dimaklumkan jumlah kelulusan bagi projek lereng bukit itu meningkat dalam tempoh singkat iaitu sejak DAP memerintah negeri ini pada tahun 2008.

Menurut beliau, pembangunan kawasan lereng bukit tanpa mengambil kira kerosakan terhadap alam sekitar dan keperluan untuk mengadakan peparitan yang sesuai merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada bencana banjir besar.

“Kesan daripada pembangunan itu penting kerana kerosakan alam sekitar akan mendatangkan pelbagai bencana alam,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 400 keluarga mangsa banjir di Bagan Dalam dan Perai di, Butterworth di sini hari ini.

Bencana banjir besar di Pulau Pinang 4 November lalu turut dikaitkan dengan aktiviti pembangunan tidak terkawal di lereng bukit berikutan berlakunya beberapa kejadian tanah runtuh selain banjir berlumpur yang dibawa daripada tapak projek di kawasan bukit.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata, perkhidmatan kesihatan di negeri ini sepanjang bencana banjir besar sejak seminggu lalu tidak terjejas meskipun beberapa klinik kesihatan dan hospital dinaiki air.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan bencana termasuk banjir bagi memastikan perkhidmatan itu kepada pesakit dapat diteruskan.

“Selain persediaan bahagian kecemasan, pasukan kesihatan akan pergi memberi bantuan di pusat pemindahan mangsa banjir,” katanya.- MalaysiaGazette