Fattah Amin dan Fazura.

KUALA LUMPUR – Malam tadi, heboh cerita pasangan pelakon sensasi, Fattah Amin dan Fazura dikatakan bernikah dalam satu majlis tertutup.

Pasangan yang tidak pernah mengaku bercinta itu didakwa bernikah di rumah nenek Fazura yang terletak di Petaling Jaya.

Tapi sehingga pagi ini, tiada pengesahan yang dibuat oleh mana-mana pihak termasuk tuan punya badan.

Namun wartawan yang berkunjung ke tempat yang dikatakan majlis berlangsung mendapati dari luar terdapat khemah di pasang di dalam kawasan rumah yang berpagar itu.

Apa pun tidak dapat dipastikan majlis apa yang sedang berlangsung kerana kawasan rumah berkenaan dikawal ketat.

Difahamkan, hanya tetamu terpilih sahaja dibenarkan menghadirinya dan tidak boleh membawa telefon bimbit.

Wakil pasangan artis berkenaan dan pihak pengurusan mereka juga masih mengunci mulut sehingga sekarang.

Sementara itu, pasangan berkenaan telah pun berangkat mengerjakan umrah tengahari tadi.

Sebelum ini tersebar khabar angin Fattah, 27, dan Fazura, 34, memilih tarikh 13 November 2017 untuk bertunang namun tiada pengumuman dibuat.

Sejak malam tadi, status Instagram milik Fattah turut mengundang pertanyaaan menerusi gambar Kaabah yang dikongsinya selepas dia menulis kapsyen ‘semoga semuanya dipermudahkan.’

Pagi ini, beberapa mesej tahniah kelihatan pada status berkenaan daripada peminat Fattah.

Pasangan ini ditemukan dalam drama Hero Seorang Cinderella dan sejak itu timbul gosip mereka sedang menjalinkan hubungan cinta. – MalaysiaGazette