Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali (tengah) diiringi Pengarah SPRM Wilayah Persekuuan Kuala Lumpur, Datuk Han Chee Rull (kanan) bersama pegawai-pegawai kanan dan anggota Jabatan Imigresen membaca ikrar pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Imigresen Malaysia dan Sidang Media Operasi Rampasan Dokumen Palsu Pekerja Asing di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR- Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) hari ini mengambil inisiatif mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali.

Majlis yang dihadiri seramai 125 pegawai termasuk Pegawai Kanan dan Pegawai Imigresen dari JIMWPKL itu dibuat bagi memelihara integriti dan kewibawaan oraganisasi tersebut.

Mustafar dalam ucapannya berkata, nilai penjawat awam terletak pada integriti dalam diri masing-masing, yang juga menjadi tunjang kepada kecemerlangan sesebuah organisasi termasuk Jabatan Imigresen Malaysia.

“Terdapat tiga entiti penting dalam seorang manusia, integiriti, intelek dan energy. Tapi, yang pertama itu (integriti) merupakan perkara paling utama, mengatasi intelek dan tenaga.

“Kita perlukan pekerja yang bertenaga iaitu yang boleh melaksanakan kerja dengan kuat dan cepat, kita juga perlukan pekerja yang ada intelek, yang bijak dan berilmu dalam melaksanakan sesuatu tugasan tetapi tanpa integriti, ianya tidak bermakna.”

Pelaksanaan ikrar bebas rasuah tersebut melibatkan beberapa perkara iaitu ikrar secara individu yang disaksiakan oleh pegawai SPRM dengan lafaz, seterusnya menandatangani dokumen ikrar bebas rasuah.

Ikrar bebas rasuah merupakan satu langkah bagi meningkatkan rasa tanggungjawab pemimpin dan warga kerja jabatan tersebut dalam melaksanakan tugasan dan menjauhkan diri daripada melakukan perlakuan rasuah sepanjang memegang jawatan tersebut.

Tambah Mustafar, ia juga merupakan satu mesej kepada rakyat bahawa jabatan tersebut berjanji akan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah. – MalaysiaGazette