Penasihat Undang-undang PERKASA, Mohd Azam Abd Aziz bercakap kepada media mengenai kehilangan dan penculikan Pastor Raymond Koh di Wisma KGMB, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menuntut empat perkara daripada Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail yang mengaitkan pertubuhan itu dengan kehilangan atau penculikan Pastor Raymond Koh.

Penasihat Undang-Undang Perkasa, Mohd Azam Abd Aziz berkata, empat perkara yang dituntut itu ialah transkripsi penuh keterangan saksi ketujuh Asisten Superintendan Supari Muhammad pada hari prosiding berkenaan dan memohon maklumat tarikh berikutnya untuk pendengaran Panel Siasatan Awam Suhakam.

Katanya, dua lagi tuntutan ialah Perkasa memohon dibekalkan senarai saksi yang telah dan akan memberi keterangan di hadapan panel siasatan serta senarai Terma Rujukan panel inkuiri Suhakam berkaitan tujuan penubuhan panel siasatan itu.

Menurut Mohd Azam, beliau dimaklumkan anak guamnya iaitu Perkasa dan pendakwah bebas antarabangsa, Dr. Zakir Naik terkejut dengan laporan sebuah portal yang secara tiba-tiba mengaitkan nama mereka dengan satu perbuatan jenayah penculikan dalam sebutan prosiding Suhakam.

Kata beliau, dalam prosiding itu ASP Supari dikatakan telah menyebut nama Perkasa dan Dr. Zakir Naik dengan satu perbuatan jenayah serius yang tidak pernah terfikir oleh kedua-dua anak guamnya itu untuk melakukannya.

“Laporan portal berkenaan telah memberikan gambaran yang songsang dan negatif terhadap imej dan reputasi baik Perkasa dan Dr. Zakir Naik di kalangan masyarakat tempatan dan di mata dunia yang seolah-olah melibatkan anak guam kami dengan kes penculikan manusia.

“ASP Supari juga dilaporkan oleh portal berkenaan sebagai berkata, bahawa Dr. Zakir Naik akan turut disiasat berkaitan dengan kehilangan atau penculikan Pastor Raymond Koh,” katanya pada sidang media di pejabat Perkasa di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Perkasa, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Menurut Mohd Azam, pihaknya menghantar notis kedua kepada portal berkenaan yang menuntutnya melaporkan kenyataan penafian Dr. Zakir Naik dan Perkasa dalam jenayah penculikan itu.

Katanya, sebaik sahaja menerima notis itu, portal berkenaan dalam kadar segera telah menerbitkan kenyataan penafian Perkasa dan Dr. Zakir Naik melalui berita bertarikh 14 November lalu dengan tajuk, “Perkasa, Zakir Naik bantah laporan dikaitkan dengan penculikan, ekstremisme”.

“Pihak Suhakam juga melalui surat jawapan kepada kami bertarikh 15 November lalu telah memaklumkan pihak Suhakam akan merujukkan semua empat tuntutan kami kepada Panel Siasatan Awam Suhakam.

“Panel ini dipengerusi Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai dan Suhakam akan memanjangkan sebarang jawapan atau maklum balas dari Pengerusi Panel Siasatan berkenaan kepada kami sebaik sahaja mereka memperolehinya,” katanya.

Pada masa sama menurut Mohd Azam, Suhakam juga telah memanjangkan satu kenyataan media kepada pihaknya yang mengandungi maklumat empat terma rujukan panel Siasatan Suhakam itu. – MalaysiaGazette