Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan Kelapan pada 19 November ini.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, kira-kira 1,700 orang melibatkan perwakilan tiga sayap pertubuhan itu dan perwakilan luar negara dijangka hadir pada persidangan yang diadakan di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Menurut beliau, persidangan itu akan dirasmikan Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dan pada masa sama Perkasa turut menganugerahkan pingat Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara kepada cendekiawan Islam itu.

“Sehari sebelum itu, iaitu pada Sabtu, satu forum akan diadakan di Hotel Regency bertajuk ‘Bajet 2018: Di mana Keistimewaan Bumiputera?’,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr. Ibrahim berkata, ahli panel forum ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Yusof Saari dan Penyelidik Universiti Kolej Lincoln, Prof. Dr. Rom Tamjis.

Katanya, forum itu lebih menumpukan untuk melihat sejauh mana belajawan yang diperuntukkan setiap tahun termasuk 2018 membantu melonjakkan ekonomi Bumiputera daripada segi pembahagian kek ekonomi, sama ada ia memadai atau tidak. – MalaysiaGazette