Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Kuasa untuk mewajibkan atau melarang pekerja wanita Islam memakai tudung di kaunter hadapan mana-mana hotel di negara ini terletak di tangan kerajaan, bukan pengusaha hotel.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, tindakan beberapa rangkaian hotel antarabangsa di negara ini yang melakukan perkara tersebut cuba mengatasi kuasa kerajaan dan Perlembagaan.

“Kita sebagai kerajaan, kalau kita mahu kenakan supaya setiap pekerja di kaunter hotel semua diwajibkan pakai tudung, kita boleh buat, tapi kita tidak buat, kerana kita menghormati hak asasi manusia.

“Maka cukup kurang ajar kalau sekiranya mereka pula membuat syarat mengharamkan pemakaian tudung.

“Kita sendiri tak laksanakan peraturan memaksa pakai tudung di kaunter tapi mereka pula tentukan syarat,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pejabat urusan Titanium Compass Sdn. Bhd. dan VGI Global Media Sdn. Bhd di Bukit Damansara hari ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (dua kanan) bersama Pengerusi Kumpulan BTS Group, Keeree Kanjanapas (tengah) dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif BTS Group, Kavin Kanjanapas (kanan) memotong reben pada Majlis Pelancaran Titanium Compass Sdn. Bhd. dan VGI Global Media Sdn. Bhd. di Menara Manulife, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN, 16 NOVEMBER 2017

Sebelum ini Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan mengenai aduan kakitangan hotel berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.

Presiden MAH, Cheah Swee Hee juga dilaporkan media yang mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian dasar antarabangsa.

Mohamed Nazri juga berkata, tindakan menarik balik lesen pengendali hotel di negara ini sekiranya melaksanakan dasar diskriminasi pekerja termasuk larangan memakai tudung adalah bertepatan dengan Perlembagaan dan hak asasi manusia.

Malah beliau turut menyambut baik tindakan tegas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar semalam yang mahu menarik balik lesen operasi hotel terbabit jika masih berdegil.

“Saya setuju perkara sebab ia tidak berperlembagaan, tidak bertanggungjawab dan kurang ajar itu memang betul, bukan setakat itu saja, malah satu penghinaan kerana dikatakan perkara itu kononnya jadi satu SOP.

“Kerja belakang kaunter boleh (pakai tudung) dan kerja di kaunter depan hotel tak boleh. Hina sangat ker pakai tudung ini?,” soalnya.

Beliau berkata lagi, SOP tersebut tidak pernah wujud dan dikenakan kepada pekerja hotel di negara ini dan ia juga tidak boleh dibenarkan melaksanakan tindakan diskriminasi itu.

“Saya dah kata tak ada sebenarnya (SOP), mereka pun cakap tiada (syarat pemakaian di kaunter)..memang tiada SOP itu.

“Jadi ini sengaja diada-adakan dan pada saya sebagai satu percubaan mempertikaikan tentang penggunaan tudung di negara kita.

“Tan Sri Noh pun kata kalau ada hotel buat demikian, tarik balik (lesen) memang betul berdasarkan fakta ia memang tidak berperlembagaan untuk lakukan perkara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.