Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua kiri) bersama Setiausaha Bahagian Cukai, Perbendaharaan Malaysia, Datuk Khodijah Abdullah (empat kanan) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) LHDNM, Datuk Seri Sabin Samitah (kiri) menukar dokumen perjanjian bersama Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy (dua kanan) pada Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman (MOU) Perkongsian Maklumat LHDNM-JKDM di Kompleks Bangunan Kerajaan, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi bantuan kewangan tambahan kepada golongan berpendapatan rendah sekiranya harga minyak terus naik.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan akan menentukan paras harga minyak tertentu sebelum memberi bantuan tambahan tersebut.

“Setiap kali harga minyak naik AS$1 (RM4.18) naik, pendapatan kerajaan akan bertambah sebanyak RM300 juta dan bayangkan kalau harga minyak naik sebanyak AS$5, ini bermakna kerajaan akan mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM1.5 bilion.

“Saya serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengumumkan butiran lanjut.

“Kalau kita tengok setakat ini (kadar inflasi) masih okay tetapi jika harga minyak naik ke satu tahap yang akan menyebabkan inflasi kerana salah satu teras utama di dalam pengiraan inflasi adalah pengangkutan, maka kita boleh pertimbangkan tambahan bantuan kewangan kepada golongan terjejas seperti B40,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman Perkongsian Maklumat Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, Johari tidak mendedahkan paras harga minyak yang membolehkan kerajaan membuat keputusan untuk memberi bantuan kewangan tambahan kepada rakyat.

“Kita tidak boleh buat keputusan sekarang kerana ianya sangat sensitif dan melibatkan banyak perniagaan.

“Ia akan menyebabkan banyak perniagaan menjadi tidak menentu dan kerajaan tidak mahu membuat keadaan ekonomi menjadi tidak menentu.

“Apabila kamu hendak membuat keputusan, terus sahaja buat keputusan.

“Lagi pun dengan mekanisme (penentuan harga minyak), rakyat boleh kira dan tengok sendiri,” katanya lagi.- MalaysiaGazette