Mohd Ridzuan Abdullah
Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menghapuskan sistem Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) sebagai langkah mengelak orang ramai terjebak membuat pinjaman ah long.

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, tidak perlu lagi seseorang peminjam yang menghadapi masalah dalam pinjamannya dikenakan CTOS ekoran bermacam lagi perkara telah dilakukan terutamanya oleh pihak bank untuk menyenarai hitam peminjam bermasalah terbabit.

Katanya, cukup sekadar nama mereka dimasukkan ke Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) kerana langkah itu juga sudah menghimpit mereka yang menghadapi kesukaran untuk membayar semula hutang.

“Mereka dah kenakan peminjam yang gagal membayar pinjaman ini dengan CCRIS, jadi kenapa pula nama mereka itu di CTOS.

“Bukan ke itu hanya menambah beban kepada mereka yang berhutang. Akhirnya bila menghadapi kesukaran mereka akan mencari ah long untuk membuat pinjaman,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Mohd Ridzuan, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini langkah penghapusan CTOS amat perlu kerana dengan langkah itu ia akan dapat mengelakkan kebergantungan pengguna terhadap pihak-pihak yang menawarkan pinjaman peribadi dan sebagainya.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan turut mendakwa CTOS hanya memberi pulangan kepada pihak-pihak tertentu di belakang tabir politik dan ia amat berkepentingan.

Jelasnya, jika CTOS ini terus dilaksana ia dibimbangi akan menjadi punca kepada masalah wujudnya kes-kes keganasan ah long terutamanya melibatkan orang Melayu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.