Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) menyampaikan ucapan pada Sambutan Ulang Tahun Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX) 2017, turut sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim (kanan) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Sepanjang karier politik, Datuk Seri Najib Razak mengatakan tidak pernah mencabar sesiapa untuk merebut sebarang jawatan dan ia hanya berlaku apabila terdapat kekosongan.

Perdana Menteri berkongsi pengalaman hidupnya yang terjun dalam arena politik seawal usia 20an, namun tidak menggalakkan orang ramai untuk mengikut jejaknya itu kerana akan terpaksa melupakan banyak perkara dalam kehidupan.

“Saya memulakan karier politik pada umur 20an, saya menjadi Ahli Parlimen pada umur 20 lebih, kemudiaan Timbalan Menteri pada usia 25 tahun, menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun… selebihnya adalah sejarah.

“Saya tidak syorkan anda semua mengikut jejak saya kerana banyak perkara dalam hidup kamu kena lupakan,” katanya semasa sesi town hall sempena sambutan ulang tahun Pameran Tahunan PKS (SMIDEX) 20 hari ini.

Ujar Najib, kejayaan dicapainya tidak dalam sekelip mata dan ia bermula selangkah demi selangkah sehingga menjadi Perdana Menteri sekarang ini.

“Saya naik selangkah demi selangkah, bukan sekelip mata… tidak pernah dalam hidup saya mencabar sesiapa, dalam kehidupan politik saya.

“Ia hanya berlaku apabila ada kekosongan, saya tawarkan diri dan Alhamdulillah resipi itu berhasil dan sekarang saya menjadi pemimpin Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak tahap tekanan menjadi seorang Perdana Menteri adalah tinggi tetapi apa yang penting adalah cara menanganinya dengan baik.

“Menguruskan stress adalah kunci, bukan sahaja ahli politik tapi kamu semua juga ada stress.

“Kamu perlu uruskannya secara asasnya dengan mengimbangi antara kehidupan dan kerja… semua ini perlu dilakukan untuk memberi kamu keselesaan,” katanya.

Bagi Najib, bersenam adalah cara untuk beliau menangani stress disamping ia dapat memberi kesihatan yang baik kepada tubuh badan. – MalaysiaGazette