Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sedia disiasat berhubung dakwaan yang mengaitkan pertubuhan Melayu itu dengan perbuatan jenayah penculikan Pastor Raymod Koh.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, sehingga kini pihaknya menunggu dipanggil oleh polis Bukit Aman bagi tujuan siasatan.

“Sekarang ini juga kita sedang menunggu transkripsi penuh dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menubuhkan panel siasatan awam bagi menyiasat kehilangan Koh,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Ibrahim berkata demikian mengulas sebuah portal berita yang melaporkan, seorang pegawai penyiasat mengakui Perkasa mungkin relevan dengan kes penculikan Koh.

Asisten Superitendan Supari Muhammad dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang menjadi saksi ketujuh Suhakam dilaporkan memberitahu panel siasatan itu mengenai kehilangan Koh dan tiga yang lain.

Bagaimanapun, polis belum menyiasat Perkasa berhubung dakwaan itu.

Menurut Dr. Ibrahim, pertubuhan yang memperjuangkan agenda Bumiputera itu tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas portal berkenaan sebelum meneliti transkripsi daripada Suhakam terlebih dahulu.

Beliau turut menempelak sesetengah pihak yang anti dan busuk hati dengan perjuangan Perkasa apabila tidak semena-mena cuba mengaitkan jenayah itu dengan pertubuhan berkenaan.

“Jangan pula kalau ada itik mati digilis treler nanti, Perkasa dituduh ada kaitan,” katanya berseloroh.

Portal berkenaan juga turut melaporkan, peguam keluarga Koh, Datuk Jerald Gomez ada memberitahu panel siasatan awam bahawa tiga hari sebelum Koh diculik, penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik ada menyertai satu siri ceramah di Arau, Perlis.

Koh dilaporkan diculik pada 13 Februari lalu di Jalan SS4B/10, kira-kira 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya, dekat Petaling Jaya ketika pulang ke rumah rakannya.

Rakaman kamera litar tertutup di sebuah rumah berhampiran menunjukkan tiga kenderaan menyekat kereta Koh dan lapan individu bertopeng melarikannya bersama kenderaan dinaikinya dari tempat kejadian.

Sehingga kini, tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, sekali gus memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu. – MalaysiaGazette.