Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan cabarannya berhubung isu Perkara 5A Perlembagaan Negeri Sabah bukan bertujuan untuk mengaibkan Parti Bersatu Sabah (PBS)  susulan timbul kekeliruan terhadap kenyataannya beberapa hari lalu.

Pandikar dalam kenyataannya sebelum ini menyentuh berkaitan agama Islam sebagai agama rasmi negeri pada tahun 1976 dan dalam penjelasan lanjut beliau menafikan mahu mempolitikkan agama tetapi sekadar mahu memberi peringatan kepada rakyat Sabah.

“Saya sentuh perkara tersebut bukan atas niat untuk mempolitikan agama, cuma terpanggil untuk mengingatkan rakyat negeri Sabah supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali”

“Oleh kerana tiada niat jahat terhadap parti PBS, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya, maka melalui kenyataan ini, saya memohan maaf di atas kekeliruan dan salah faham yang dicetuskan oleh kenyataan saya tersebut,” kata Pandikar dalam satu kenyataan.

Jelas beliau lagi, langkah mengaitkan PBS dan Perkara 5A semata-mata untuk memberi contoh bahawa sekuat-kuat parti-parti pembangkang sekarang ini, lebih kuat dan popular PBS dahulu.

“Pun begitu PBS terpaksa akur kepada kehendak sistem politik Federalisma dan tidak meminda Perkara 5A dan akhirnya kembali kepangkuan Barisan Nasional,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Pandikar mencabar ahli politik Sabah yang lantang memperjuangkan hak negeri itu supaya membuktikan keikhlasan perjuangan mereka.

Ini termasuk cabaran kepada Parti Warisan sama ada akan meminda Artikel 5A dalam Perlembagaan Negeri Sabah, iaitu agama Islam tidak lagi menjadi agama negeri Sabah sekiranya parti itu memerintah Sabah.

Cabaran tersebut dilakukan berikutan salah tafsir terhadap sejarah pembentukan Malaysia dan perundangan yang berkaitan dengannya bagi memenuhi agenda politik masing-masing. – MalaysiaGazette