PUTRAJAYA – Penubuhan sayap Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jelas melanggar perlembagaan parti itu yang ditubuhkan Ogos tahun lalu.

Ketua Pengarah Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Surayati Ibrahim berkata, PPBM sendiri secara jelas melanggar perlembagaan yang dimuktamadkan dengan menamakan sayap pemuda itu sebagai Armada.

“Setelah diluluskan, adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan pertubuhan itu mengendalikan urus tadbir dengan baik.

“Dalam hal ini, PPBM sendiri yang melanggar perlembagaan parti, iaitu menubuhkan sayap pemuda yang dinamakan Armada,” katanya dalam sidang media khas di pejabat RoS hari ini.

Perlembagaan PPBM yang diluluskan RoS hanya ada sayap Pemuda dan Srikandi tetapi  tidah menyebut mengenai kewujudan Armada.

Mengulas lanjut Surayati berkata, langkah PPBM menggerakkan sayap itu sebelum mendapat kelulusan pindaan perlembagaan dan gagal mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (EGM) turut mengakibatkan parti itu kini dilanda kemelut dalaman.

Sehubungan itu, Surayati mendesak agar pucuk pimpinan PPBM supaya tidak terus menyalahkan RoS akan tindakan sendiri oleh parti itu.

“Sebelum membuat sebarang tuduhan dan tohmahan ke atas tindakan RoS, sila baca perlembagaan rasmi PPBM yang didaftarkan dengan RoS.

“Sekiranya tuduhan-tuduhan ini terus berlaku, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang terlibat,” katanya lagi.

Surayati turut berkata, penggunaan nama Armada dalam PPBM adalah sesuatu isu yang serius dan tidak menghormati Akta Pertubuhan.

“Menurut perlembagaan PPBM yang didaftarkan dengan RoS, Fasal-fasal 28 mengenai pindaan perlembangaan.

“Fasal 28.1 menyebut ‘apa-apa pindaan ke atas perlembangaan PPBM perlu dipersetujui oleh tidak kurang daripada 2/3 perwakilan yang hadir dalam perhimpunan khas,” katanya lagi.

Tambah beliau, perkara sama turut terjadi kepada UMNO pada 1988 apabila parti bertunjangkan Melayu itu diharamkan kerana melanggar Perlembangaan parti.

Sementara itu, RoS memberitahu sebanyak 33 aduan diterima berhubung penggunaan nama Armada yang digunakan parti itu sebagai sayap pemuda. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.