Pelajar, Ayu Mazuin Jamin Nordin menyentuhkan kad konsesi MyRapid yang baharu semasa menggunakan perkhidmatan LRT semasa tinjauan sempena kempen menukar kad konsesi MyRapid di LRT Subang Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 03 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Menyedari perbuatan sesetengah pengguna rel dan bas menyalahgunakan kad konsesi MyRapid, Rapid KL hari ini memberi amaran bahawa ia akan menyenaraihitamkan mereka yang dikesan berbuat demikian.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Zohari Sulaiman berkata kad konsesi MyRapid, yang tidak boleh dipindah milik, disediakan khusus untuk orang kelainan upaya (OKU), pelajar dan warga emas bagi menikmati kadar diskaun tambang sebanyak 50 peratus bagi semua perkhidmatan kendalian Rapid KL.

“Kami mendapati ada pelajar yang diperalatkan oleh anggota keluarga mereka untuk memohon kad konsesi pelajar namun ia disalahgunakan oleh anggota keluarga untuk berulang alik ke tempat kerja.

“Ada juga warga emas yang memberikan kad konsesi mereka kepada anggota keluarga untuk tujuan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 81 kad konsesi merangkumi 48 kad konsesi pelajar, 31 milik warga emas dan dua milik OKU dirampas dalam operasi mengesan penyalahgunaan kad berkenaan pada hari pertama dan kedua operasi Rapid KL bermula pada Rabu.

Zohari berkata pasukan pemantau Rapid KL akan memperhebatkan operasi itu sehingga tiada lagi pengguna melanggar undang-undang berkenaan.

— BERNAMA