WASHINGTON – Seorang kru tentera laut Amerika Syarikat ditahan selepas menggunakan jet pejuang untuk menghasilkan imej besar zakar di udara dengan ekzos.

Kejadian berlaku di ruang udara Okanogan Washington, apabila pesawat pejuang Tentera Laut AS, E/A-18 Growler terbang tanpa mengikut corak penerbangan biasa, lapor agensi berita Reuters.

Imej bentuk zakar itu menjadi tular di laman sosial.

Saluran televisyen tempatan melaporkan, seorang wanita di Okanogan bimbang apabila perlu menjelaskan gambaran itu kepada anaknya.

Tentera Laut, yang dalam usaha menghapuskan serangan seksual dalam kalangan anggotanya, mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi berhubung kejadian yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak matang itu.

“Tindakan tidak matang berkaitan seksual tidak ada tempat dalam unit penerbangan tentera laut.

“Kami akan menyiasat kejadian itu untuk mendapatkan semua fakta dan bertindak sewajarnya,” kata Komander Unit Udara Tentera Laut, Timbalan Laksamana Mike Shoemaker, dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette