Hilmi semasa berucap semasa pelancaran MyTPA di Hotel Grand Dorset di Subang Jaya, hari ini.

SUBANG – Hospital-hospital dan juga klinik yang bernaung dibawah Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) mampu menarik nafas lega apabila masalah tuntutan bayaran terhadap rawatan pesakit menggunakan panel bakal  diselesaikan.

Menerusi aplikasi pentadbiran pihak ketiga, hospital atau klinik yang menjadi panel kepada syarikat-syarikat swasta boleh mendapat bayaran segera tanpa perlu menunggu lama untuk menuntut bayaran.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, masalah besar yang dihadapi oleh ahli-ahli pertubuhan itu ialah mereka lambat mendapat bayaran selepas perkhidmatan kesihatan diberikan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan dibayar oleh syarikat.

Katanya, bukan sahaja lambat menerima bayaran malah kekurangan pesakit juga menjadi punca hospital dan klinik yang bernaung di bawah Perdim menghadapi kesukaran meneruskan operasinya.

“Ramai yang terpaksa tutup perkhidmatan mereka kerana menghadapi masalah kewangan, pesakit tidak ramai dan tuntutan pun lambat.

“Ini telah menjejaskan praktis mereka. Ada yang tidak menerima bayaran enam bulan dan ada juga yang menunggu setahun untuk mereka menerima bayaran,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Sistem MyTPA di sini hari ini.

Aplikasi TPA membuka dimensi baru dalam perkhidmatan perubatan di Malaysia apabila ia direkacipta memnggunakan ciri-ciri terkini termasuk pangkalan data pesakit secara online.

Ia juga merupakan sistem yang mesra klinik dan boleh diakses menggunakan telefon bimbit.

Aplikasi TPA Perdim ini bakal menjadi satu fasiliti terunggul dalam perkhidmatan setara dengannya serta dapat mengintegrasikan klinik-klinik panel dalam satu platform masa sehenti.

Mengulas mengenai perkara itu Hilmi berkata, masalah kelambatan bayaran berpunca apabila hospital dan juga klinik-klinik berkenaan terpaksa berurusan dengan pihak ketiga dalam urusan pembayaran.

Katanya, ada juga yang mengambil kesemapatan apabila tidak membuat bayaran langsung kepada hospital dan klinik yang telah memberikan petrkhidmatan kepada pesakit.

“Saya berharap dengan adanya aplikasi ini ia akan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang diahadpi oleh doktor-doktor di hospital-hospital dan klinik berkenaan.” ujarnya. – MalaysiaGazette