Joseph Pairin Kitingan,
Joseph Pairin Kitingan,
PENAMPANG – Pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hari ini menyampaikan ucapan dasar buat kali terakhir pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-32 selepas memimpin parti itu sejak penubuhannya pada tahun 1985.

Pada majlis perasmian persidangan tersebut di Dewan Hongkod KDCA di sini, pemimpin berusia 77 tahun itu menyifatkan ucapan dasarnya adalah kali terakhir sebagai presiden parti itu.

Selepas 32 tahun menerajui parti berbilang kaum itu dan kedua terbesar di Sabah, Pairin berkata parti itu kini dilihat lebih matang kerana sudah terlalu banyak cabaran, halangan, pengalaman pahit dan manis ditempuhi sepanjang tempoh tersebut.

“Saya percaya dengan sokongan berterusan, kesetiaan, kerja keras anggota parti dan penyokong di semua peringkat, parti ini akan terus cemerlang dan berkembang demi memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

“Kita semua perlu sentiasa mengamalkan sikap toleransi, kerjasama dan komunikasi secara efektif untuk memastikan PBS akan terus relevan di hati rakyat.

“Adalah menjadi keinginan saya sebagai presiden parti agar semua rakan seperjuangan dan anggota parti untuk terus berkongsi misi, visi dan perjuangan PBS supaya parti ini akan terus berkekalan bagi berkhidmat untuk rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman merangkap Pengerusi BN Sabah serta Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Pairin berkata semua anggota PBS mesti bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan parti di peringkat akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau turut yakin dan percaya timbalannya, Ongkili, akan membawa legasi dan kepimpinan baharu kepada parti itu.

Katanya, PBS tidak pernah lari daripada perjuangan asal, namun pendekatan dan strategi parti itu dalam menghadapi perubahan iklim politik dan ekonomi perlu menerusi pembaharuan serta transfomasi untuk memenangi segala cabaran.

“Berilah sokongan dan kerjasama penuh anda semua untuk melancarkan peralihan kepimpinan ini. Saya percaya selagi kita berpegang ikhlas kepada misi, visi dan perjuangan parti, maka kita akan terus berada di hati rakyat Sabah dan negara Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, PBS juga berjanji akan bekerja keras untuk memberikan kemenangan kepada semua kerusi-kerusi diperuntukan kepada parti itu pada pilihan raya umum akan datang sebagai membalas jasa baik dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan perdana menteri.

— BERNAMA