Adam Nor Azlin.

KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) pantas menyambar dua pemain pasukan bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Adam Nor Azlin dan Mohamed Syamer Kutty Abba dalam usaha memperkuatkan pasukan pada saingan liga musim depan.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi satu kenyataan di halaman Facebook Johor Southern Tigers.

Martin berkata, pasukan itu teruja dengan penyertaan pemain muda baharu berkenaan.

“Beliau merupakan sebahagian pelan jangka panjang kami. Beliau memahami projek bola sepak kami.

“(Adam) seseorang yang memiliki karakter untuk melakukan yang terbaik, berkembang sebagai pemain dan mempunyai keinginan untuk memenangi kejuaraan.

Mohamed Syamer Kutty Abba

“Syamer juga seorang pemain muda yang mempunyai potensi baik dan masa hadapan yang cerah. Dia pemain yang boleh bermain di dua atau tiga posisi yang sesuai dengan gaya permainan kami.

“Dia sebahagian daripada projek jangka panjang kami dan kami gembira dia bermain untuk kelab kami,” kata Martin.

Adam yang berusia 21 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan JDT, selepas kontraknya bersama Selangor tamat hujung tahun ini.

Mohamed Syamer, 20, pula sebelum ini merupakan tonggak tengah Pulau Pinang.

Mereka merupakan antara pemain yang mempamerkan aksi memberangsangkan dan membantu skuad B-22 memenangi pingat perak pada temasya Sukan Sea 2017 lalu. – MalaysiaGazette