Daging kambing salai akan dibawa ke pasaran Dubai, Emiriah Arab Bersatu menerusi kerjasama jenama Nisa Bakri dan Agroworld Channel Sdn. Bhd..

KUALA LUMPUR – Jenama pes segera Nisa Bakri bakal mengorak langkah ke luar negara apabila memperkenalkan menu tempatan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun depan.

Pengasasnya, Puan Sri Nisa Bakri berkata, kerjasama perjenamaan itu akan direalisasikan bersama Agroworld Channel Sdn. Bhd. (Agroworld Channel) dengan memilih daging kambing salai untuk dipopularkan.

Beliau yang juga pemilik Serasi Café By Nisa Bakri berkata, menu itu dijangka mendapat sambutan masyarakat Arab di sana kerana memiliki kelainan citarasa yang tersendiri.

“Tidak dinafikan memang masyarakat Arab gemar makan daging kambing namun mereka tidak pernah mencuba daging kambing salai masak lemak cili api.

“Itulah kelainan yang akan dibawa namun masih mengikut selera masyarakat di sana. Saya akan menggunakan pes segera yang dibuat sendiri dan bakal berada di pasaran tempatan dan Dubai tidak lama lagi.

“Ketika ini, saya perlu membuat perancangan rapi dengan mengatur perancangan mengikut perkembangan apabila dalam peringkat proses pembungkusan yang lebih menarik untuk diperkenalkan ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Agroworld Channel Sdn Bhd bagi kerjasama mengeluarkan produk makanan, Smoked Lamb di sini baru-baru ini.

Jenama Nisa Bakri kini popular dengan prpduk pes segera.

Selain Dubai, daging kambing salai itu juga akan dipasarkan di Malaysia selain United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Nisa memberitahu, beliau telah dijemput untuk muncul dalam sebuah program masakan di Dubai berjudul Food Addict yang akan bersiaran pada tahun depan.

Jelasnya, program masakan sebanyak lapan episod ini akan menampilkan selebriti terkenal negara itu, Fathima Zen Salaam sebagai hos untuk memperkenalkan resepi masakan Malaysia.

“Penggambaran untuk program ini akan dimulakan pada bulan Disember dan dijangka ke udara di kaca televisyen pada suku tahun pertama 2018 menerusi saluran Zee Channel.

“Yang pasti, program masakan saya ini lain daripada yang lain dan sesi penggambaran akan dilakukan di lokasi menarik di negara kita selain akan memperkenalkan budaya Malaysia sama ada menerusi masakan, bahasa dan budaya,” katanya bersemangat.

Nisa merupakan penulis buku masakan I Am Not A Chef dan pernah muncul di kaca televisyen

Biarpun tidak mahu dikenali sebagai chef, pencapaian Nisa  dalam bidang masakan mendapat pujian ramai. Beliau bermula dengan gemar memasak untuk rakan-rakan, namun siapa sangka namanya kini mula dikenali di arena antarabangsa.

Bulan lalu, Nisa terpilih untuk menyertai program diploma yang dikelolakan oleh Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM) di University Jaen, Sepanyol.

Di sana, beliau telah berpeluang untuk memasak di restoran terkenal milik chef celebriti, Antonio.

Beliau telah mengambil kesempatan mempopularkan menu tempatan seperti Nasi Wangi, Asam Pedas Nisa Bakri, Kari Udang dan Ayam Goreng Berempah untuk tetamu seramai 40 orang.

Di bawah jenama Nisa Bakri pula, wanita berusia 49 tahun ini memiliki lima produk antaranya pes segera asam pedas, pes segera kari ikan, ayam dan udang.

Beliau merancang mengeluarkan dua produk baharu iaitu pes masak lemak cili api dan pes cili pada tahun depan. – MalaysiaGazette