Home Utama Kerajaan beku projek hartanah RM1j

Kerajaan beku projek hartanah RM1j

Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Kabinet telah membekukan sementara semua projek hartanah bernilai RM1 juta sejak 1 November lalu sehingga ia ditarik semula.

Ia membabitkan kediaman kondominium, pusat beli-belah dan ruang pejabat.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dengan pembekuan itu membolehkan stok-stok berkenaan dijual.

“Jumlah kondomium, pusat beli-belah dan pejabat komersial melebihi permintaan, oleh yang demikian Kabinet buat keputusan menghentikan sementara pembangunan bernilai RM1 juta ke atas. Untuk sementara sahaja.

“Stok (hartanah) ini agak banyak dan kita akan lihat semula strategi pembangunan ini supaya ia tidak memberi kesan kepada negara pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan dalam program Back to School.

Pembekuan itu bergantung kepada perkembangan ekonomi.

Bagaimanapun, jelas Johari,kerajaan akan meneruskan projek-projek perumahan mampu milik bernilai RM300,000 ke bawah.

Ini kerana, bekalan untuk rumah mampu milik hanya 20 peratus berbanding permintaan sebanyak 48 peratus.

Lantaran itu, menurut beliau, pasaran perlu menyeimbangkan hartanah kediaman kerana kebanyakan rumah-rumah yang tidak terjual berharga lebih RM250,000.

Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ketidakseimbangan dalam pasaran hartanah menimbulkan risiko ketara kepada pasaran keseluruhan sekiranya berlaku kejutan.

Gabenor Bank Pusat itu, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, ketika pendedahan sektor kewangan bagi ruang ini berada dalam tahap yang selesa, kelebihan bekalan di sesetengah segmen ini boleh menyebabkan kesan limpahan negatif kepada ekonomi yang lebih luas.

Antara segmen pasaran hartanah itu ialah kondominium tinggi, ruang pejabat dan pusat beli-belah.

Muhammad menegaskan ketidakseimbangan bekalan-permintaan dalam pasaran hartanah telah meningkat sejak 2015, menunjukkan hartanah kediaman yang tidak dijual dalam sedekad, dengan majoriti unit tidak terjual berada dalam kategori berharga RM250,000 ke atas.

Jumlah besar hartanah tidak terjual disebabkan ketidaksetaraan antara harga pelancaran baru dan kemampuan isi rumah.

Untuk ruang pejabat, terdapat juga kadar kekosongan pejabat tingkat tinggi, terutamanya di Lembah Klang.

Sementara kadar kekosongan ruang pejabat di Lembah Klang dijangka mencapai paras tertinggi 32 peratus pada tahun 2021, jauh melebihi tahap yang dicatatkan semasa Krisis Kewangan Asia.

Begitu juga dengan ruang peruncitan yang dijangka menyaksikan 140 pusat beli-belah baharu yang akan memasuki pasaran merentasi kawasan utama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. – MalaysiaGazette