Paul Pogba

MANCHESTER – Selepas dua bulan tidak beraksi, Paul Pogba kembali ke atas padang meledak satu gol ketika membantu Manchester United menang 4-1 ke atas Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, awal pagi tadi.

Dalam aksi tersebut, pemain tengah itu turut membuat satu bantuan untuk gol penyamaan tuan rumah selepas pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan menerusi Dwight Gayle pada minit ke-14.

Pogba menampilkan kelincahannya sebelum dia membuat hantaran yang ditanduk Anthony Martial untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-37.

United kemudian terus bernafsu memburu gol apabila mendahului permainan pada minit akhir babak pertama setelah Chris Smalling melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Ashley Young.

Pogba melengkapkan kemunculan yang sempurna apabila menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-54, sebelum Romelu Lukaku menamatkan kemarau jaringannya dalam tujuh perlawanan apabila meledak gol ke-12 musim ini ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Sementara itu pengurus United, Jose Mourinho turut membawa masuk Zlatan Ibrahimovic yang membuat penampilan pertama sejak mengalami kecederaan ligamen lutut pada April lalu, yang menyaksikan volinya diselamatkan penjaga gol Newcastle United, Rob Elliot. – MalaysiaGazette