Foto Instagram Rizalman.

KUALA LUMPUR – Tidak semena-mena nama pereka fesyen Datuk Rizalman Ibrahim menjadi kecaman netizen di media sosial gara-gara rekaan kerudung (veil) yang digayakan oleh Izara Aishah pada majlis pernikahan yang berlangsung malam kelmarin.

Rizalman menerusi laman sosial Instagram miliknya menyindir netizen yang tidak mengetahui sejarah dan asal usul kerudung itu yang dipakai sejak zaman Raja dahulu.

“Lain kali masa cikgu Murni mengajar matapelajaran Sejarah Melayu kita jangan tido anak anak… kan dah fail??! Lainlah kalau cikgu korang cikgu Shaari,” katanya.

Foto Instagram Rizalman.

Menjelaskan isu kepada sebuah portal, kerudung itu adalah ilham daripada kain songket keras yang digunakan untuk menutup kepala ketika zaman Diraja dahulu.

“Cumanya, saya terkilan bila orang kita sendiri tak tahu sejarah dan hanya tahu nak kritik sahaja.

“Saya menjelajah banyak negara dan membaca mengenai sejarah fesyen dan serapkan dalam busana istimewa ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, Rizalman turut berbangga kerana baju pernikahan Izara itu turut menerima pujian daripada pengikutnya di luar negara.

Izara dan Adib Khalid selamat bergelar suami-isteri pada majlis tertutup yang diadakan di Glam Hall, Mercu Mustapha Kamal, Selangor. – MalaysiaGazette