TOKYO – Pertumbuhan eksport Jepun kukuh pada Oktober, menunjukkan permintaan global bagi kereta dan barangan elektronik keluaran negara itu akan memacu pemulihan ekonomi pada suku semasa.

Data Kementerian Kewangan yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan eksport meningkat 14 peratus pada Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu dipacu oleh penghantaran kereta ke Australia dan peralatan LCD dan bahan mentah untuk penghasilan plastik ke China.

Angka dagangan menunjukkan ekonomi Jepun berkembang pada kadar tahunan 1.4 peratus dalam suku ketiga dipacu oleh permintaan luaran yang kukuh.

Penganalisis menjangkakan eksport akan terus dipacu pertumbuhan dalam bulan Oktober- Disember apabila China dilihat cuba mengelakkan kelembapan ekonomi yang lebih teruk dengan bantuan pelaburan dalam bidang infrastruktur.

Progres dalam pengurangan cukai di Amerika Syarikat juga memberi manfaat kepada ekonomi Jepun.

“Dalam tempoh singkat, permintaan kepada alat ganti elektronik yang digunakan dalam model baharu telefon pintar dijangka membantu pertumbuhan eksport Jepun,” kata pakar ekonomi kanan Nomura Securities, Masaki Kuwahara. – MalaysiaGazette