Penjenayah yang mendakwa diri sebagai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaksa dua mangsa berusia 12 dan 13 tahun untuk melakukan ujian kencing dan mengambil kesempatan untuk meraba alat kemaluan mangsa.
PETALING JAYA – Penjenayah pedofilia mengganas di Kuala Lumpur!
China Press melaporkan, penjenayah tersebut yang menyasarkan kanak-kanak berumur belasan tahun telah menyamar sebagai penguat kuasa untuk mencabul kanak-kanak lelaki.
Dalam kes terbaru, penjenayah yang mendakwa diri sebagai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  memaksa dua mangsa berusia 12 dan 13 tahun untuk melakukan ujian kencing dan mengambil kesempatan untuk meraba alat kemaluan mangsa.
Sekurang-kurangnya dua kes telah dilaporkan masing-masing di sebuah dobi di Kepong dan sebuah rumah pangsa di Cheras, ibu negara.
Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Rusdi Mohd. Isa berkata, pihak polis tidak menafikan ia dilakukan oleh orang yang sama kerana dua kes berlaku selang beberapa hari dan menggunakan cara yang sama.
Katanya, polis masih memburu penjenayah yang menyasarkan kanak-kanak itu.
Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa penguat kuasa tidak akan menjalankan operasi dan pemeriksaan secara berseorangan. – MalaysiaGazette