Semua murid layak mendapat sumber yang sama. Arahan yang dikeluarkan bukan dalam surat pekeliling, tetapi ia memang merupakan hala tuju di bawah pelan pendidikan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah menghantar surat kepada sekolah-sekolah supaya ‘kelas cemerlang’ dihapuskan.

Keadaan itu bermakna sekolah-sekolah di ibu negara diminta supaya tidak lagi mengagihkan murid-murid kepada kelas berdasarkan prestasi akademik mereka.

Sinchew Daily melaporkan, surat yang dihantarkan kepada sekolah itu merupakan permintaan dan bukannya surat pekeliling.

Walau bagaimanapun, ia tetap merupakan arahan pengarah jabatan yang perlu dipatuhi oleh sekolah.

“Pengarah Jabatan mengharapkan tidak lagi berlaku pengagihan kelas berdasarkan keputusan akademik kerana dasar pendidikan mengutamakan kesaksamaan.

“Semua murid layak mendapat sumber yang sama. Arahan yang dikeluarkan bukan dalam surat pekeliling, tetapi ia memang merupakan hala tuju di bawah pelan pendidikan,” kata sumber.

Sumber berpendapat, arahan mengenai pengagihan kelas harus dilaksanakan secara berperingkat terutamanya kerana sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) telah melaksanakan ‘sistem pengalihan’ sekian lama.

“Pihak sekolah tiada masalah untuk melaksanakan arahan jabatan pendidikan, yang ada masalah ialah murid dan ibu bapa.

“Ini berlaku kerana murid yang biasa berada dalam ‘kelas cemerlang’ perlu dipindahkan ke kelas biasa yakni berpisah dengan rakan yang mereka sudah kenali,” katanya.

Kata sumber lagi, pihak sekolah tidak membantah penghapusan ‘kelas cemerlang’ kerana sistem sedia ada itu melabelkan ‘murid baik’ dan ‘murid tidak baik’ berdasarkan kelas mereka.

Beliau bagaimanapun mencadangkan penghapusan ‘kelas cemerlang’ dimulakan dengan murid baharu di tahun pertama manakala murid sedia ada dikekalkan dalam sistem  ‘pengagihan kelas’. – MalaysiaGazette