Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai

SEPANG – Kementerian Pengangkutan akan menguatkuasakan 20 kesalahan lalu lintas baharu dalam sistem mata demerit di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Liong Tiong Lai berkata, antara kesalahan baharu yang akan dikenakan mata demerit adalah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu di laluan kecemasan dan memotong di garisan berkembar.

Beliau menjelaskan, ketika ini kesalahan lalu lintas di bawah Awas melibatkan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah sahaja akan diberi mata demerit berkuat kuasa April lalu.

“Menggunakan telefon bimbit ketika memandu kini menjadi faktor tertinggi punca kemalangan hari ini. Jadi kementerian akan masuk dalam 20 kesalahan lalu lintas tambahan dalam sistem mata demerit.

“Ketika ini, 20 kesalahan itu masih tidak boleh dikuatkuasakan kerana tidak boleh dihubungkan Sistem pengkomputeran mySIKAP.

“Namun ia boleh dikuatkuasakan pada tahun depan kerana kementerian komited untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara ini, sekaligus mencapai sasaran mengurangkan kadar kemangan sebanyak 20 peratus pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Anjung Malaysia di Paras 5, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bergambar kenangan bersama Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Syed Anwar Jamalullail (tengah) dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports, Mohammad Nazli Abdul Aziz (tiga kiri) pada Majlis Perasmian Anjung Malaysia dan Pelancaran Coklat Edisi Terhad Airpots Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 21 NOVEMBER 2017

Sementara itu, Awas mula beroperasi 15 April lalu dalam melaksanakan  sistem mata demerit kepada pengguna jalan raya.

Pemandu kenderaan persendirian yang melanggar isyarat lampu merah akan diberi empat mata demerit manakala pemandu kenderaan barangan dan bas pula, enam mata akan diberikan.

Bagi kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan, pemandu kenderaan persendirian akan diberi empat mata (melebihi 40km sejam) manakala bagi pemandu kenderaan barangan dan bas pula ialah enam mata, katanya.

Pemegang lesen yang mengumpul 20 mata pertama akan diberi amaran manakala 20 mata kedua, lesen pemandu akan digantung selama enam hingga lapan bulan, 20 ketiga (gantung lapan hingga 10 bulan) 20 mata keempat (gantung 10 hingga 12 bulan).

Apabila pemandu mengumpul sehingga 100 mata demerit, lesen akan dibatalkan.

Bagi pemegang lesen memandu percubaan, lesen memandu akan dibatalkan sekiranya mengumpul 20 mata pertama.

Mana-mana pemandu yang lesen memandunya digantung atau dibatalkan perlu menyerahkan lesen memandu di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dilarang untuk memandu kenderaan.

Sekiranya mereka memandu semasa lesen digantung atau batal, mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM3,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Mana-mana pemegang lesen yang mengumpul sejumlah mata demerit tetapi belum mencapai 20 mata boleh memohon mengikuti kursus pemulihan dan sekiranya lulus kursus tersebut, sejumlah 50 peratus mata demerit yang terkumpul akan ditolak sebagai insentif.

Pemberian insentif ini adalah hanya sekali dalam tempoh memegang lesen memandu. – MalaysiaGazette