Datuk Seri Johari Abdul Ghani. foto FAREEZ FADZIL, 21 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pemaju perumahan yang terkesan dengan tindakan kerajaan membekukan projek-projek pembinaan pusat membeli-belah dan kondominium berharga RM1 juta ke atas boleh bertemu dengan kerajaan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mereka perlu mengemukakan maklum balas tersebut dan menyanggah statistik yang digunakan kerajaan ketika ini.

Bagaimanapun menurut Johari, setakat ini tiada sebarang rungutan atau maklum balas yang diperolehi dari pihak industri selepas hampir sebulan langkah tersebut diambil kerajaan.

“Jika mereka datang dan memberitahu terdapat kekurangan dan ada keperluan supaya projek-projek tersebut diluluskan, maka kita akan lihat semula statistik yang disediakan oleh Bank Negara kepada kerajaan yang digunakan ketika membuat dasar ini.

“Pembekuan tersebut tidak mempunyai tempoh tertentu tetapi kerajaan sentiasa memantau perkembangan dari masa ke semasa dan ketika ini kami mendapati tiada keperluan untuk memberi kelulusan kepada projek-projek baharu berdasarkan statistik yang menunjukkan kadar rumah yang tidak dapat dijual adalah tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ekonomi Kebangsaan di sini hari ini.

Menurut Johari, kerajaan masih membenarkan pelaksanaan projek-projek perumahan di bawah harga RM1 juta kerana masih terdapat permintaan terutamanya rumah-rumah mampu milik.

“Kerajaan tidak mahu melihat syarikat-syarikat pembinaan ini terlalu terkesan dengan sebarang dasar yang dibuat.

“Apa akan jadi kepada pekerja-pekerja mereka sekiranya syarikat tiba-tiba tiada projek?

“Maka projek-projek di bawah RM1 juta akan diteruskan dan kami melihat masih ada permintaan dalam segmen tersebut,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai kekeliruan di antara kenyataan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Johari menegaskan, tiada U-turn.

Sebaliknya, Fadillah hanya memberi perincian bahawa dasar tersebut hanya tertakluk kepada projek-projek baharu sahaja.

Sebarang projek yang telah diluluskan atau sedang dilaksanakan sebelum 1 November lalu masih boleh disiapkan.

“Saya panggil Fadillah dan beliau menjelaskan apa yang dimaksudkannya dalam laporan berita tersebut.

“Perkara ini telah diputuskan Kabinet, jika saya tidak boleh U-turn, tiada siapa boleh buat uUturn kecuali jika kita terlepas pandang sesuatu maka kita akan nilai balik.

“Tetapi di dalam kes ini, kita tetap dengan keputusan yang telah dibuat kerana cuba bayangkan jika perkara ini diteruskan, ia akan mengganggu keseluruhan ekonomi negara.

“Apabila pemaju mahu membuat projek, mereka akan meminjam daripada bank dan apa akan jadi sekiranya projek-projek tersebut tidak boleh dijual?

“Ini akan menyumbang kepada hutang tidak berbayar (NPL) bank-bank. Pada masa sekarang memang masih tiada kejadian sebegini berlaku dan saya rasa kita telah menanganinya dengan baik,” katanya.

Semalam, Fadillah dilaporkan berkata, pembekuan projek tersebut tidak dikenakan kepada semua projek.-MalaysiaGazette