Kongsi
Perkasa antara pertubuhan NGO untuk orang Melayu yang menitikberatkan kebajikan dan kepentingan kaum peribumi Bumiputera.

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang selesai bersidang 19 November lalu telah meluluskan empat usul mendesak kerajaan agar memberi perhatian kepada orang Melayu dan Bumiputera demi kelangsungan hidup dalam keadaan yang serba mencabar.

Usul yang dicadangkan Pengerusi Perkasa Parlimen Rembau, Dr. Mohd Aluwi Sari dan disokong Pengerusi Perkasa Parlimen Kuala Kangsar, Dr. Kamarudin Yaakob itu adalah berkaitan ekonomi, pendidikan, agama dan kebajikan anggota tentera.

Mengenai usul ekonomi, Perkasa cuba mendesak kerajaan supaya mengembalikan roh, semangat dan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam kerangka Pembangunan Ekonomi Negara sebagai dasar ibu.

Ini untuk memastikan pembahagian perkongsian kek ekonomi negara terlaksana secara adil antara kaum dengan mengambilkira 70 peratus rakyat adalah peribumi atau Bumiputera di bumi yang dahulu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

“Pengisytiharan Agenda Ekonomi Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak memberi apa-apa erti tanpa ianya dijadikan dasar ibu atau Dasar Induk Pembangunan Ekonomi Negara demi mencapai matlamat pengagihan kek ekonomi negara secara secara adil antara kaum.

“Dasar ini berpandukan kepada asas Perlembagaan Negara Fasal 153 kerana jurang pendapatan dan aset antara kaum makin melebar yang pasti akan gagal menyusun semula masyarakat antara kaum dari segi pembahagian kek ekonomi negara dan boleh menggugat keharmonian serta kestabilan negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Perkasa kepada MalaysiaGazette di sini, semalam.

Menurut kenyataan itu, Perkasa tegas menolak dasar kesamarataan yang dicanang oleh parti politik mutakhir ini kerana berpendapat dasar itu bertentangan dengan Fasal 153 Asas Perlembagaan Negara hasil perjanjian Sosial Kontrak yang wajib dipatuhi, apatah lagi jurang ekonomi negara antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera makin melebar serta trend itu amat berbahaya kepada Keselamatan Nasional dari segi jangka panjang.

Selain itu, Perkasa turut mendesak kerajaan supaya berpandukan Perlembagan dan Undang-Undang Negara bagi memastikan semua Tanah Rizab Melayu dan Tanah Adat Sabah dan Sarawak yang diambil kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan, menggantikan tanah tersebut 100 peratus sebagaimana jumlah diambil atas apa jua alasan dengan segera.

Menurutnya, kegagalan menggantikan Tanah Rizab Melayu dan Tanah Adat Sabah dan Sarawak adalah perbuatan jenayah mengikut Perlembagaan Negara.

“Oleh itu, kerajaan didesak mengeluarkan kertas putih menjelang tahun 2020 bagi menghuraikan secara terperinci dan telus kepada rakyat mengenai Tanah Rizab Melayu dan Tanah Adat Sabah dan Sarawak bagi memastikan Wasiat Raja-Raja Melayu mengenainya tidak dinodai dan dikianati,” kata kenyataan itu.

Mengenai pendidikan, katanya, kerajaan didesak supaya berusaha melaksanakan Sekolah Satu Aliran sistem bahasa kebangsaan sebagai proses Integrasi Nasional dan Perpaduan Rakyat Malaysia selaras Perlembagaan Negara Fasal 151 – 152 dan Dasar Pendidikan Nasional.

Jelasnya, kepimpinan kerajaan dan parti politik didesak agar mempunyai semangat kesungguhan bagi menjayakan Sekolah Satu Aliran demi perpaduan nasional.

“Perkasa mendesak supaya kerajaan dengan tegas tanpa kompromi supaya tidak mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) kerana jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan 1996,” katanya.

Berhubung agama, pertubuhan terbesar orang Melayu itu mendesak kerajaan mengambil langkah tegas memperkasa pindaan Rang Undang-Undang 355 Akta Mahkamah Syariah, di samping mempertahankan Maqasid Syariah dengan meminda mana-mana peruntukan undang-undang bagi menghalang campurtangan Mahkamah Sivil dalam setiap keputusan Mahkamah Syariah selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan.

Perkasa turut mendesak kerajaan bertegas untuk mengambil tindakan bagi mengekang penyerapan fahaman sesat pluralisme dan LGBT yang boleh mengancam akidah umat Islam melalui penguatkuasaan undang-undang.

“Sekiranya terdapat kelonggaran undang-undang, maka undang-undang yang lebih tegas hendaklah diwujudkan,” kata kenyataan itu.

Usul terakhir mengenai kebajikan anggota tentera dikemukakan berikutan besarnya pengorbanan mereka yang merupakan nyawa negara.

Menurut usul itu, kerajaan perlu mengembalikan semula kuasa Majlis Angkatan Tentera (MAT) supaya kebajikan anggota tentera yang merupakan benteng keselamatan negara sentiasa diberi perhatian tanpa perlu diselaraskan dengan perkhidmatan awam.

Katanya, penyelarasan bidang kuasa MAT dengan perkhidmatan awam telah menimbulkan ketidakadilan kerana anggota tentera berkhidmat 24 jam tanpa bayaran khidmat lebih masa, sedangkan perkhidmatan awam hanya bekerja lapan jam dan dibayar kerja lebih masa.

“Anggota tentera juga terpaksa bersara wajib setelah 21 tahun berkhidmat ketika berumur 40 tahun. Ini benar-benar tidak adil, seolah menganaktirikan anggota tentera sehingga berlakunya perbedaan pencen yang sangat ketara antara yang dahulu dengan sekarang.

“Kerajaan perlu membetulkan keadaan yang pincang ini dan menghargai pengorbanan anggota tentera,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan