Najib Razak berucap di Forum Ekonomi Islam Dunia di Kuching, hari ini. foto blog Najibrazak.com

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menjadi sebuah negara yang tidak bertanggungjawab jika kerajaan tidak memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ini kerana, GST telah menyelamatkan negara ketika berlaku kejatuhan harga minyak mentah, kata Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, pelaksanaan GST pada tahun 1 April 2015 itu telah meluaskan asas percukaian negara.

“Ia sebenarnya lebih senang jika tidak melaksanakannya, memandangkan ia adalah cukai baru – walaupun ia menggantikan dengan yang lama – GST telah menyebabkan gangguan. Kami tahu ia tidak popular. Tetapi ia menjadikan kami tidak bertanggungjawab jika tidak melaksanakan GST.

“Ia bukan sekadar kita meluaskan asas cukai itu, yang mana ia menjadi alasan mengapa lebih 60 buah negara di dunia melaksanakan GST. GST menyelamatkan kita ketika kejatuhan harga minyak,” kata perdana menteri ketika berucap di Forum Ekonomi Islam Dunia kali-ke13 yang dianjurkan di Kuching.

Jelas beliau, pembangkang yang mahu menyingkirkan GST sebenarnya menipu rakyat dan mahu menggerakkan ekonomi fantasi.

Dalam abad ke-21, kerajaan-kerajaan dan negara-negara tidak boleh berdiri diam dan terus melakukan perkara-perkara yang lama.

Sebaliknya, kata Najib, kerajaan yang bertanggungjawab mesti mengubah dasar apabila keadaan berubah demi kesejahteraan rakyat.

“Sekiranya kita tidak menyesuaikan dasar kita, negara akan kehilangan daya saingnya dan ditewaskan oleh negara lain. Kita tidak boleh dan tidak boleh membenarkannya.

“Kami tahu bahawa jika kita mencapai matlamat kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kita perlu membuat perubahan. Itulah kepimpinan yang benar,” tambah perdana menteri lagi. – MalaysiaGazette