Abang Johari Tun Abang Openg

KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa daripada jadual padatnya di bandar raya ini bertemu anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Sarawak.

Pertemuan tertutup lebih sejam itu diadakan di sebuah hotel di sini petang ini.

Setiausaha BN Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata pada pertemuan tersebut, Najib yang juga Pengerusi BN berbincang mengenai beberapa perkara termasuk memberi nasihat berkenaan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Adun ambil peluang keberadaan Perdana Menteri di Kuching untuk bertemu beliau. Pada pertemuan tadi, beliau ada memberi beberapa nasihat terutama dalam menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

“Beliau tidak maklumkan bila pilihan raya akan diadakan, namun kita (Adun) BN Sarawak telah nyatakan sudah bersedia bila-bila masa supaya dapat kejayaan cemerlang pada pilihan raya nanti,” katanya kepada media selepas pertemuan itu.

Turut hadir pada pertemuan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi BN Sarawak.

Rundi berkata selain berkaitan pilihan raya, Najib juga memberi maklumat mengenai pelaksanaan projek di Sarawak dan beberapa perkara lain.

PRU14 mesti diadakan sebelum tempoh masa berakhir pada Ogos tahun depan.-BERNAMA