Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (tengah) ketika merasmikan Karnival Upin & Ipin sambil diiringi Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi (tiga kiri) di MAEPS, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2017
  • SERDANG – Karnival Upin & Ipin akan dijadikan salah satu tarikan pelancongan ke Malaysia.

    Menteri Pelancongan, Datuk Seri Moahmed Nazri Aziz berkata, karnival yang telah tiga kali diadakan itu bakal dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Malaysia pada tahun depan.

    “Upin & Ipin telah menjadi duta pelancongan kita dan sentiasa membantu Malaysia di dalam memperkenalkan negara ini ke mata dunia.

    “Jadi kerajaan akan membantu mereka dengan pelbagai cara supaya Upin & Ipin ini lebih dikenali.

    “Mereka perlu bagi tarikh (karnival) dan kami akan masukkan ke dalam kalendar pelancongan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Upin & Ipin Luar Biasa 2017 di sini hari ini.

    Kartun dan jenama Upin & Ipin semakin mendapat tempat di luar negara selepas menembusi pasaran Indonesia dan China.

    Usaha kini sedang giat dijalankan untuk membangunkan Taman Tema Upin & Ipin di China dan Malaysia.

    Menerusi karnival Upin & Ipin, para peminat terutamanya kanak-kanak boleh melakukan aktiviti menarik dan bertemu dengan pelbagai karekter animasi lain seperti Ultraman Ribut dan Puteri- Puteri dan Kerajaan Limau. – MalaysiaGazette