Dr. Azman Ibrahim

KUALA LUMPUR – Dalam Pas, pemimpin ataupun ahli boleh datang dan pergi, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Azman Ibrahim.

“Yang pergi biarkan dia pergi. Kafilah perjuangan ini terus melangkah. Allah akan menentukan bahawa perjuangan meninggikan agama-Nya akan terus dipacu oleh satu kelompok hamba-Nya yang istiqamah.

“Kita sayangkan sahabat kita yang pernah bersusah payah bersama. Bila tiba di simpang, akhirnya sahabat memilih arah perjalanan yang berbeza,” katanya mengulas keputusan bekas Yang Dipertua Pas Kuala Kedah, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelmarin.

Menurutnya, ketika memegang jawatan Pengerusi Lajnah Petani, Nelayan dan Peneroka Pas Setiu, beliau pernah menganjurkan beberapa program bersama Ir. Amiruddin yang ketika itu Pengerusi Lajnah Pertanian Pas Pusat.

“Kita masuk sampai ke Kampung Jelapang Langkap di Setiu menangani isu pesawah di Jelapang.

“Sama-sama bersila makan nasi dengan orang kampung. Akhirnya dia pilih untuk naik bahtera lain.

“Cuma sedikit ingatan sahabatku yang dikasihi, antara kita sama-sama melafazkan baiah ketika memikul amanah parti menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kata Dr. Azman, beliau sentiasa mengucapkan selamat berjaya kepada rakan sejawatan dalam Pas, tetapi pada masa sama turut mengingatkan mereka akan lafaz baiah dengan nama Allah untuk tidak khianat kepada perjuangan parti.

“Baiah tempoh sahnya sampai akhir hayat. Tidak ada tarikh luput,” katanya. – MalaysiaGazette