Home Nasional SPRM pandang serius dokumen kes Exco Johor bocor

SPRM pandang serius dokumen kes Exco Johor bocor

Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius pembocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan melibatkan kes bekas Exco Negeri Johor yang disiasat SPRM pada awal tahun ini di media sosial.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, dokumen kenyataan rakaman percakapan salah seorang tertuduh telah diberikan kepada peguambela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada untuk pembelaan selepas suspek dituduh.

Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat.

Memandangkan kes melibatkan bekas Exco Negeri Johor masih dalam perbicaraan, maka SPRM khuatir pembocoran dokumen-dokumen tersebut akan mengganggu prosiding mahkamah.

Oleh itu, SPRM akan membuat satu laporan polis berhubung pembocoran tersebut supaya mereka yang bertanggungjawab menularkan dokumen-dokumen itu diambil tindakan
mengikut lunas undang-undang.

“Pembocoran kenyataan sedemikian adalah bersifat prejudis memandangkan kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette