Datuk Huan Cheng Guan

KUALA LUMPUR – Parti Cinta Malaysia (PCM) mencabar Lim Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang atau sekurang-kurangnya mengambil cuti bagi membolehkan kes rasuah pembelian rumah banglo dapat dibicara dengan lancar.

Timbalan Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan turut menyatakan, sekiranya Setiausaha Agung DAP itu anak jantan, beliau perlu berlaku adil sebagaimana pemimpin UMNO yang dikenakan tuduhan rasuah oleh pihak berkuasa.

“Saya ingin menyatakan kepada Guan Eng, kalau dia anak jantan, letak jawatan dan turun dari kerusi Ketua Menteri atau mengambil cuti.

“Tapi sampai sekarang Guan Eng tidak berbuat demikian. Beliau masih kebal walaupun kesnya dalam perbicaraan di mahkamah,” katanya pada Diskusi UMNO-Online: Anda Tanya Kami Jawab – Membongkar Wajah Sebenar DAP di Auditorium UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Ahli panel diskusi ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dan bekas aktivis DAP, Mohd Razali Abd Rahman.

Jelas Cheng Guan, Barisan Nasional (BN) patut membongkar isu-isu yang berkaitan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin DAP seperti skandal banglo Ketua Menteri dan projek terowong yang menelan berbilion ringgit.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mendedahkan DAP antara parti yang tidak boleh dipercayai terutama oleh rakan pakatannya sendiri seperti PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ujar beliau, DAP boleh pada bila-bila masa menikam dua rakannya itu dari belakang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya percaya DAP akan meletakkan calonnya di kawasan yang ditandingi PKR dan PPBM. Anda tunggu dan lihatlah. Ini akan berlaku kerana DAP perlu menang banyak kerusi dan tidak mencukupi untuk menjadi parti dominan sekiranya mengharapkan kawasan sendiri.

“DAP adalah parti gila kuasa. Mereka berbaik dengan PKR dan PPBM hanya untuk kepentingan diri sahaja. Bila impian tercapai mereka akan tendang kedua-duanya sebagaimana mereka tendang Pas,” katanya.

Beliau turut menjelaskan punca DAP angkuh dan ganas kerana Akta Keselamatan dalam Negara (ISA) sudah dihapuskan.

Katanya, sebelum ini DAP tidak berani bersuara lantang disebabkan mereka takut kepada ISA tetapi disebabkan akta itu sudah dihapuskan, parti cauvinis itu semakin lupa diri dan ‘memijak-mijak’ parti lawan.

“Pada saya, DAP cukup bahaya. Kerajaan patut lakukan sesuatu,” katanya.

Cheng Guan turut mencabar Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang agar menunjukkan bukti kedua-duanya pemimpin yang prihatin kepada bangsanya sendiri.

“Saya nak tanya Guan Eng dan Kit Siang, pernahkan kamu menggunakan duit poket sendiri sebanyak RM100 untuk bantu sekolah Cina. Tunjukan resit kepada saya.

“Anda jangan pandai bercakap sahaja. Minta bantuan sana, minta bantuan sini. Bila semua (bantuan) dapat, masuk poket sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette