Bekas aktivis DAP, Mohd Razali Abd Rahman pada Diskusi UMNO-Online bertajuk Membongkat Wajah Sebenar DAP di Auditorium UMNO, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 NOVEMBER 2017

 

KUALA LUMPUR – Bekas aktivis DAP, Mohd Razali Abd Rahman merayu kepada rakyat Pulau Pinang, Selangor dan negeri yang ada calon DAP agar menolak parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang.

Menurutnya, rakyat di negeri berkenaan harus berfikiran terbuka untuk menilai semula apa yang kerajaan dan wakil rakyat DAP lakukan kepada mereka sepanjang mentadbir Pulau Pinang serta kawasan dimenanginya.

“Saya harap pada PRU 14 ini rakyat membuat keputusan yang tepat. Jangan lagi memberi undi dan kemenangan kepada calon DAP, sebaliknya balaslah budi dan jasa kerajaan Pusat yang banyak menyalurkan bantuan walaupun di negeri yang diperintah oleh pembangkang.

“Saya memberi contoh, ketika Pulau Pinang dilanda banjir baru-baru ini, apa kerajaan DAP buat untuk selamatkan mangsa banjir, kalau tidak merayu minta bantuan kerajaan Pusat?

“Selepas itu, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng memberitahu rakyat negeri itu, kerajaan Pusat hanya menghulurkan sedikit sahaja bantuan, selebihnya adalah dari kerajaan negeri,” katanya pada Diskusi UMNO-Online: Anda Tanya Kami Jawab – Membongkar Wajah Sebenar DAP di Auditorium UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Mohd Razali, beliau bertindak meninggalkan DAP kerana menyedari pemimpin parti itu retorik dan tidak ikhlas dalam perjuangannya terutama kepada orang Melayu.

Ketika ditanya Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berhubung kedudukannya dalam parti, katanya, sejak keluar dari DAP, beliau belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti dan lebih selesa berada di pihak bebas.

Beliau turut mendedahkan tujuan DAP melantik Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution sebagai Penasihat Strategik Guan Eng dan pemimpin Pemuda PKR, Wan Ji sebagai Pegawai Penerangan kepada Ketua Menteri itu hanya bersifat umpan untuk pancing undi orang Melayu.

Pada masa sama, katanya, pelantikan itu juga mempunyai petanda tidak baik kepada PKR sebenarnya apabila kedua-dua pemimpin parti itu lebih menumpukan strategi untuk memenangkan DAP daripada parti sendiri.

“DAP memang suka orang macam Saifudin dan Wan Ji. DAP juga berminat kepada Ahli Parlimen Sepang dari Parti Amanah Negara (PAN), Mohamed Hanipa Maidin sehingga DAP sanggup menolak kepercayaannya kepada pemimpin sendiri iaitu Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw,” katanya. – MalaysiaGazette