Majlis Perbandaran Pulau Pinang telah mengeluarkan amaran kepada pengusaha supaya tidak menjalankan aktiviti 'berunta' di kawasan larangan di pantai. - Gambar hiasan
PULAU PINANG – Belum dapat mengawal kegiatan menunggang kuda di Batu Ferringhi secara sepenuhnya, kini muncul pula unta di pantai.
Pihak berkuasa telah melarang aktiviti berkuda di beberapa kawasan di Batu Ferringhi yang merupakan destinasi pelancongan terkenal di Pulau Pinang, namun kegiatan riadah itu masih mengambil tempat walaupun pernah berlaku insiden yang mengakibatkan kecederaan.
Sebelum isu kuda diselesaikan, kini muncul pula aktiviti ‘berunta’ yang ditawarkan kepada pengunjung pantai pada harga RM20 selama 10 minit.
Guang Ming Daily melaporkan, kini terdapat dua ekor unta bersaiz kecil yang ‘mencari makan’ di Batu Ferringhi.
Seorang pegawai  Majlis Perbandaran Pulau Pinang memberitahu akhbar itu, walaupun pihak berkuasa boleh mengambil tindakan atas aktiviti berkuda di tempat larangan, tetapi unta pula berada dalam zon kelabu undang-undang.
Katanya, pihak berkuasa tempatan boleh mengawal selia kuda, lembu, keldai dan kambing, tetapi unta merupakan haiwan di luar bidang kuasa majlis perbandaran tersebut.
Walaupun demikian, Majlis Perbandaran Pulau Pinang telah mengeluarkan amaran kepada pengusaha supaya tidak menjalankan aktiviti ‘berunta’ di kawasan larangan di pantai.
Sekiranya amaran diingkari, maka pihak berkuasa tempatan itu akan memanjangkan aduan kepada Jabatan Veterinar yang berkuasa merampas unta yang ‘melanggar peraturan’ di Batu Ferringhi.
“Unta adalah di luar kawalan Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan kami juga tidak mempunyai kemudahan untuk mengangkut unta, oleh itu bantuan Jabatan Veterinar diperlukan,” kata seorang pegawai. – MalaysiaGazette