Tahap pendidikan wanita lebih tinggi yang menyediakan peluang kerjaya dan pendapatan yang baik telah menyebabkan kadar kelahiran Malaysia menjunam kepada tahap paling rendah. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tahap pendidikan wanita lebih tinggi yang menyediakan peluang kerjaya dan pendapatan yang baik telah menyebabkan kadar kelahiran Malaysia menjunam kepada tahap paling rendah.

Walaupun populasi Malaysia mencecah 32 juta orang, tetapi kadar kelahiran pada tahun lalu hanya 1.9 dengan 508,203 bayi dilahirkan.

Menurut Sinchew Daily, purata kelahiran kaum Cina dan India di negara ini pada 2015 hanya 1.4 orang anak manakala kelahiran bumiputera dan Melayu ialah 2.6 orang anak.

Walaupun begitu, kadar kelahiran Melayu sendiri telah menunjukkan penurunan.

Hasil penyelidikan mendapati bahawa seramai 5.55 juta wanita bekerja iaitu mencecah 54.6 peratus kaum Hawa di negara ini.

Alam pekerjaan bagaimanapun masih didominasi lelaki apabila 67.9 peratus pekerjaan adalah dipegang oleh kaum Adam.

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, Dr. Tang Chor Foon berkata, walaupun kadar kelahiran Malaysia menjunam, tetapi impaknya tidak besar kerana kadar itu masih melebihi kadar kematian negara ini.

Keadaan itu jika berpanjangan, menurut Chor Foon, bagaimanapun akan memberi kesan kepada penuaan populasi dan kekurangan tenaga kerja.

Katanya, Malaysia merupakan negara urbanisasi kedua di Asia Tenggara dengan lebih 70 peratus rakyat negara ini duduk di kawasan bandar pada masa ini.