PUCHONG – Penerbit filem Pinjamkan Hatiku, Aurawhite Global Sdn. Bhd. dan Nuansa Sdn. Bhd. membuat satu laporan polis berhubung dengan perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang melakukan FB Live ketika filem berkenaan ditayangkan di pawagam.

Penerbit Eksekutif, Datuk Saiful Safwan Mohamed Ghazi berkata, pihaknya mengesan perbuatan tersebut pada hari Sabtu lalu, iaitu dua hari selepas ditayangkan di pawagam.

“Kami mendapati bahawa individu yang berkenaan melakukannya pada 1 Disember lalu dan kemudian dapat mengesannya sehari selepas itu dan terus memberi amaran menerusi mesej di Facebook.

“Walaupun video itu sudah dipadamkan, namun kami membuat keputusan untuk membuat laporan polis supaya perkara ini tidak terus berlaku memandangkan filem Pinjamkan Hatiku masih ditayangkan di pawagam,” ujarnya ketika ditemui di Balai Polis Puchong Jaya petang tadi.

Menurut Saiful, ketika pihaknya menyedari perbuatan tersebut, ia telah ditonton lebih 600 orang sebelum ia terus dipadam daripada Facebook.

Ujarnya, beliau mahu supaya tindakan tegas dikenakan kepada individu berkenaan agar ia tidak lagi berulang.

Sementara itu, pengarahnya, Osman Ali pula kesal kerana ia kejadian kedua berlaku terhadap filem arahannya selepas filem Kau Yang Satu sebelum ini.

“Sudah tentu saya kecewa apabila filem saya berdepan perkara yang sama dan melihat perkara ini seolah-olah seperti tiada penghujungnya.

“Saya mahukan supaya penguatkuasaan yang lebih ketat untuk membendung perkara ini, termasuk kerjasama daripada pihak pawagam agar dapat membuat pemantauan,” luahnya.

Filem Pinjamkan Hatiku mula ditayangkan pada 30 November lalu di 108 buah pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

Filem tersebut menampilkan barisan pelakon- pelakon seperti Ayda Jebat, Shaheizy Sam, Farid Kamil, Lia Natalia, Normah Damanhuri serta diarahkan oleh Osman Ali. – MalaysiaGazette