Antara demonstrasi khas yang dipersembahkan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Hari Peringatan Ulang Tahun Penubuhan Pasukan FRU Ke-62 di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan, Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan dibekalkan dengan aset dan peralatan logistik yang canggih mengikut keperluan teknologi semasa bagi meningkatkan lagi keberkesanan pasukan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pembaharuan aset itu melibatkan kenderaan baharu bagi membolehkan pasukan itu menjalankan tugasan dengan sistematik dan mengikut piawaian standard antarabangsa.

Dalam masa yang sama jelasnya, pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk menempatkan anggota FRU di Sabah dan Sarawak selain meneliti keperluan untuk mewujudkan pasukan itu di Pulau Pinang bagi mengawal negeri-negeri utara Semenanjung dan Terengganu untuk mengawal pantai timur.

“Seiring dengan kepesatan serta kecanggihan teknologi masa kini, peranan dan tanggungjawab FRU dalam memenuhi tuntutan kepolisan moden menjadi semakin kompleks dan mencabar.

“Justeru FRU telah mengukuhkan strategi pembangunannya ke arah penambahbaikan dari aspek teknologi persenjataan, penggunaan non lethal weapons, serta memperkemaskan lagi taktik dan teknik dalam menangani situasi ketenteraman awam,” katanya kepada pemberita di majlis Hari Peringatan Ulang Tahun Penubuhan FRU ke-62 di Cheras di sini.

Turut hadir Komander FRU Malaysia, Datuk Wan Abdullah Ishak yang menegaskan penambahan anggota FRU wanita yang kini berjumlah 80 orang turut dipertimbangkan.

Kini terdapat 2,400 anggota FRU.

Menurut beliau, kejayaan FRU dalam menangani pelbagai insiden yang menggugat ketenteraman awam adalah membanggakan dan berada dalam kelas tersendiri.

Ujarnya berpegang kepada prinsip ‘Control and self restraint’ semasa menjalankan tugas menjadi senjata utama dalam melemahkan provokasi yang cuba dicetuskan pihak-pihak tertentu.

Bahkan kelibat FRU dalam apa jua perhimpunan mampu menimbulkan perasaan ‘gerun’ dalam kalangan peserta perhimpunan, katanya.

“Akta Perhimpunan Aman 2012 ternyata mengubah senario penugasan PDRM yang mana menuntut FRU menjalankan tugas dengan lebih berhati-hati demi menjamin hak bersuara rakyat dalam menjalankan perhimpunan secara aman.

“Mereka yang tidak memahami akta tersebut, sudah pasti ianya akan memberikan gambaran negatif kepada PDRM dan inilah cabaran yang terpaksa dihadapi FRU masa kini,” katanya. – MalaysiaGazette