Home Ekonomi Kadar penembusan jalur lebar negara 82%

Kadar penembusan jalur lebar negara 82%

KUALA LUMPUR – Kadar penembusan jalur lebar berkelajuan tinggi atau High Speed Broadband (HSBB) isi rumah di seluruh negara mencapai 81.8 peratus sehingga suku pertama tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata,  kerajaan dengan kerjasama pemain industri giat melaksanakan pelbagai inisiatif berasaskan pembangunan infrastruktur komunikasi bagi memastikan 95 peratus peluasan kawasan liputan jalur lebar dapat dicapai menjelang tahun 2020.

“Teknologi satelit telah digunakan dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar dengan menggunakan ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) di kawasan-kawasan terpencil seperti di pedalaman Sabah, Sarawak serta di Semenanjung Malaysia.

“Kementerian mendapati teknologi satelit bukanlah penyelesaian jangka masa panjang dalam meningkatkan perkhidmatan jalur lebar negara kerana perkhidmatan ini mempunyai beberapa kelemahan,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Chai Kim Sen pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Salleh berkata, kelemahan tersebut termasuk kapasiti terhad, kos operasi dan kos penyelenggaraan yang tinggi serta masalah kestabilan perkhidmatan sekiranya terdapat gangguan cuaca dan bekalan kuasa.

Dalam membangunkan perkhidmatan dan prasarana telekomunikasi negara, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berusaha menyediakan perkhidmatan jalur lebar terrestrial seperti perkhidmatan 3G dan 4G yang lebih murah dan stabil berbanding perkhidmatan satelit, katanya.

“Justeru, bagi membolehkan rakyat terutamanya golongan B40 turut menikmati perkhidmatan jalur lebar, kementerian turut memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi menawarkan pakej-pakej asas pada harga yang rendah.

“Contohnya, pakej asas jalur lebar mudah alih bermula daripada RM20 sebulan manakala Telekom Malaysia Berhad juga menawarkan pakej jalur lebar asas berkelajuan 1 megabit sesaat pada harga RM38 sebulan,” katanya. – MalaysiaGazette