Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin melaungkan kata-kata keramat selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada Majlis Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Pehimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra petang tadi bergegar dengan ucapan penggulungan berapi-api Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Sebagai ucapan terakhirnya dipentas Pemuda dan PRU-14, Khairy luar biasa semangatnya setakat dua hari Persidangan Agung UMNO kali ini.

Dalam ucapannya, Khairy menggesa seluruh jentera Pemuda UMNO supaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap lapisan masyarakat terutama pada golongan muda.

Antara yang menjadi sasaran utama adalah golongan muda di luar bandar yang tercicir dan gagal meneruskan pengajian di peringkat universiti.

“Pemuda mesti ada tawaran baru untuk anak muda dalam manifesto terutama bagi anak-anak muda di kampung-kampung yang tidak berjaya masuk ke universiti,” tegasnya.

Dalam masa sama, Khairy turut mengingatkan kepada seluruh ahli Pemuda UMNO berkenaan persiapan terakhir menghadapi PRU-14.

“Saya ingin menyentuh tentang persiapan PRU-14 yang akan datang. Kita diberikan tugasan baru di bawah JR Plus yang diberikan nama oleh Pemuda iaitu Ops Jejak dan dibawahnya sudah berjaya mendapat ahli seramai 40,000 ahli.

“Fomulanya mudah saja, ada 64,000 orang ahli dibawah Ops Jejak, setiap seorang akan menjaga 30 orang pengundi. Jadi, terdapat 1.9 juta pengundi lelaki Melayu berumur bawah 40 tahun,” katanya.

Tambah Khairy, walaupun strategi tersebut dilihat mudah bagaimanapun setiap petugas perlu memastikan mereka menjaga semua pemuda dibawah mereka dengan baik dan memastikan mengundi kerajaan semasa pilihan raya nanti.

“Bila masuk perang kita pastikan details itu tepat. Itulah yang akan menentukan masa depan kita dan pastikan bila kita balik kawasan mereka ini undi kita,” katanya lagi. -MalaysiaGazette