Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menurunkan tandantangan pada plak Perasmian Pameran "Survival Muslim Rohingya" sempena Pehimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Para perwakilan dan orang ramai yang mengikuti Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini berpeluang menyaksikan pameran karikatur mengenai kesengsaraan Muslim Rohingya.

Ia merupakan inisiatif Institut Wasatiyyah Malaysia sempena Pameran Karikatur Survival Muslim Rohingya dan ia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Datuk Mohd. Yusof Din berkata, pameran yang diadakan menerusi empat segmen itu mendedahkan kepada masyarakat tentang penderitaan dialami oleh masyarakat Islam di sana yang diseksa tanpa rasa berperikemanusiaan.

Menurut, karikatur yang dipamerkan merupakan hasil kartunis dari seluruh dunia selain inisiatif Malaysia untuk menganjurkan pameran seumpama itu.

“Adalah diharapkan melalui karikatur yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis tanah air dan luar negara ini dapat merangsang naluri keinsanan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

“Mereka perlu bersama dengan kepimpinan negara, berjuang dan membela nasib saudara kita di Rohingya serta berterusan menggerakkan fahaman Wasatiyyah ke segenap lapisan masyarakat dalam negara kita,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.

Terdahulu, Najib yang juga Presiden UMNO meluangkan masa merasmikan pameran tersebut ketika menghadiri persidangan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hari ini. – MalaysiaGazette