Reaksi ceria Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein selepas menaikkan bendera Sang Saka Bangsa pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hari ini mengambil kesempatan menggunakan pentas Perhimpunan Agung UMNO 2017 untuk membalas pantun Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO itu semasa menyampaikan ucapan dasarnya hari ini menjawab pantun sindiran Ketua Umum Pakatan Harapan itu yang dimuat naik di Twitter pada 17 November lepas.

“Saya berziarah ke hospital melawat beliau yang sedang sakit, atas sifat kenalan lama. Saya hanya melawat, sebab itu saya bawa isteri bersama.

“Tapi, keikhlasan kami itu, tampaknya diperli, dipantun pulak. Ini jawapannya saudara Anwar…dengar ya.

Burung Merpati Terbang Sekawan,

Hinggap Seekor Di Atas Dahan,

Kita Sahut ‘Lawan Tetap Lawan’,

Di pilihanraya Bertarunglah Seperti Anak Jantan,” katanya.

Anwar sebelum ini memuat naik serangkap pantun di Twitternya selepas Najib dan isterinya Datin Seri Paduka Rosmah Mansor melawat beliau yang ketika itu menerima rawatan akibat kecederaan bahu di Hospital Kuala Lumpur.

Anwar memuat naik pantun;

“Tuai Padi Antara Masak,

Esok Jangan Layu Layuan,

Ziarah Kami Antara Nampak

Esok Pilihanraya Lawan Tetap Lawan”. – MalaysiaGazette