Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mangsor menaikan bendera UMNO Sang Saka Bangsa pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 pagi ini dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan dan acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor tiba pada jam 9 pagi dan disambut Ketua Pergerakan Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Najib yang berpakaian baju Melayu warna merah diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor naik ke pentas khas untuk menerima tabik hormat daripada komander perbarisan, Mohd. Irwan Ismail serta 150 anggota ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Presiden UMNO itu kemudian menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh anggota dan hadirin yang menyaksikan acara itu.

Lagu tema perhimpunan ‘Melayu Bersatu’ dinyanyikan oleh kumpulan koir mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan kakitangan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada majlis perasmian itu.

Najib kemudiannya bergerak ke Dewan Merdeka bagi menyampaikan ucapan dasar Presiden sekaligus merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017. – MalaysiaGazette